Utusan Khas ASEAN bincang krisis Myanmar dengan Setiausaha Agung

Bernama
Februari 22, 2025 06:00 MYT
Othman mengadakan pertemuan dengan Kao bagi membincangkan krisis berterusan di Myanmar pada mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta, Indonesia, Jumaat lalu. - Foto Sekretariat ASEAN
JAKARTA: Utusan Khas Pengerusi ASEAN bagi Myanmar yang baharu dilantik, Tan Sri Othman Hashim, mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada Jumaat bagi membincangkan krisis berterusan di negara itu.
Menurut Sekretariat ASEAN, kedua-dua pegawai itu membincangkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, termasuk usaha meningkatkan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi.
Dalam perbincangan itu, Kao mengucapkan tahniah kepada Othman atas pelantikannya dan menegaskan komitmen ASEAN untuk menyokong Utusan Khas dalam melaksanakan mandatnya.
Mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat ASEAN di sini turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason.
Pada 7 Feb lepas, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan di Parlimen bahawa Othman telah memulakan tugasnya dan berada di Myanmar bagi mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Mohamad turut menegaskan bahawa mekanisme Troika yang diperkenalkan semasa Kepengerusian ASEAN oleh Indonesia pada 2023 terus memainkan peranan penting, dengan Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi.
Beliau juga menyebut hasil positif daripada usaha bersama China, termasuk perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani antara Tentera Perikatan Demokratik Nasional Myanmar dan junta Myanmar.
Namun, beliau mengulangi bahawa cabaran besar masih wujud dan perlu ditangani melalui pendekatan strategik dan berhati-hati.
-- BERNAMA
#Myanmar #ASEAN #Konsensus Lima Perkara #Othman Hashim
;