Usul undi tidak percaya terhadap Imran Khan, sesi Parlimen Pakistan ditangguh ke Isnin

Agensi
Mac 25, 2022 16:45 MYT
Kerajaan PTI Pakistan yang dipimpin oleh Khan didakwa bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi dan inflasi yang semakin memuncak. - REUTERS/Saiyna Bashir
ISLAMABAD: Parlimen Pakistan pada Jumaat menangguhkan tanpa membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Imran Khan.
Sesi itu ditangguhkan ke hari Isnin depan, lapor media yang berpangkalan di Pakistan, Dawn.
Pembangkang pada 8 Mac lalu mengemukakan usul tidak percaya di hadapan Sekretariat Perhimpunan Kebangsaan, mendakwa bahawa kerajaan Tehreek-e-Insaaf (PTI) Pakistan yang dipimpin oleh Khan bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi dan inflasi yang semakin memuncak.
Dawn melaporkan bahawa beberapa ahli pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang di Dewan Negara, Shehbaz Sharif, hadir di Bangunan Parlimen di Islamabad.
Khan, 69, mengetuai kerajaan campuran dan boleh disingkirkan jika beberapa sekutu memutuskan untuk tidak lagi memberi sokongan.
Tidak ada perdana menteri Pakistan yang pernah menyelesaikan tempoh lima tahun penuh dalam jawatan.
Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rashid berkata pada Khamis bahawa pilihan raya awal boleh diadakan untuk menamatkan ketidaktentuan politik semasa berikutan usul terhadap Khan, yang sedang berjuang untuk menyelamatkan kerajaannya.
Pilihan raya umum akan datang dijangka berlangsung akhir 2023.
#Imran Khan #Pakistan #Parlimen #Usul tidak percaya
;