USTDA, Thailand bekerjasama dalam pembangunan PSH
Bernama
April 4, 2023 04:15 MYT
April 4, 2023 04:15 MYT
BANGKOK: Agensi Perdagangan dan Pembangunan Amerika Syarikat (USTDA) mengumumkan pemberian geran kepada Pihak Berkuasa Penjana Elektrik Thailand (EGAT) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menyokong pembangunan kuasa hidro simpanan yang dipam (PSH) di Empangan Vajiralongkorn di barat Thailand.
Loji PSH akan berfungsi sebagai pilihan penyimpanan tenaga berkapasiti tinggi jangka panjang bagi menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dan kebolehpercayaan sistem kuasa di Thailand.
Kajian USTDA akan menilai kebolehjayaan teknikal dan ekonomi loji PSH yang dicadangkan, termasuk analisis geoteknikal dan geologi tapak projek, reka bentuk loji PSH, penilaian awal kesan alam sekitar dan sosial, penilaian risiko, analisis kos dan ekonomi serta pelan pelaksanaan.
Pengarah USTDA, Enoh T. Ebong berkata USTDA memiliki sejarah 30 tahun bekerjasama dengan EGAT dalam pembangunan infrastruktur tenaga Thailand.
"Sokongan kami untuk projek ini mencerminkan matlamat bersama untuk mengembangkan integrasi dan kebolehpercayaan tenaga boleh diperbaharui serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan."
Sementara itu, Duta Besar AS ke Thailand Robert F. Godec berkata projek itu adalah contoh yang baik bagaimana Amerika Syarikat membantu Thailand mencapai matlamat iklimnya iaitu mengurangkan pelepasan gas melalui penjanaan tenaga bersih dan juga memastikan keselamatan sistem kuasa Thailand.
"Melalui USTDA, kerajaan AS bangga untuk menjalin kerjasama dengan Thailand dalam penyelesaian inovatif bagi menggalakkan peralihan tenaga bersih dan menyokong model ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) Thailand," katanya.
Sementara itu, Gabenor EGAT, Boonyanit Wongrukmit berharap dengan kepakaran dan pengalaman USTDA, kedua-dua agensi akan bekerjasama untuk menjayakan projek itu bagi menjamin kestabilan dan kebolehpercayaan sistem kuasa.
"Sistem penyimpanan tenaga adalah bahagian penting dalam infrastruktur elektrik kami. Ia digunakan sebagai alat untuk menyokong pengurusan sistem kuasa, mengurangkan turun naik tenaga boleh diperbaharui dan menyokong pelan pembangunan pemodenan grid negara," katanya.
Loji PSH mengandungi dua takungan air pada ketinggian yang berbeza.
Loji takungan atas menggunakan lebihan elektrik apabila bekalan kuasa melebihi permintaan, di mana ia disimpan sehingga diperlukan untuk menghasilkan kuasa hidroelektrik tambahan ketika permintaan tinggi.
-- BERNAMA