Ustaz ditahan atas dakwaan guna sihir rogol murid di Bekasi
Agensi
Februari 25, 2014 15:49 MYT
Februari 25, 2014 15:49 MYT
Seorang ustaz ditahan oleh polis di sini atas tuduhan merogol seorang gadis berumur 17 tahun yang juga anak muridnya semasa kononnya mengubat gadis itu yang dikatakan terkena sihir.
Ustaz itu, Mulyadi, yang berumur 44 tahun ditahan di Bekasi di Jawa Barat pada Isnin selepas gadis berkenaan membuat laporan polis.
Siasatan awal polis mendapati gadis tersebut yang percaya dirinya terkena sihir telah pergi kepada ustaznya itu untuk mendapatkan pertolongan pada pagi Ahad. Menurut polis, mereka telah saling kenal-mengenali sejak dua tahun lalu.
"Mangsa mendakwa dia terkena ilmu hitam," kata jurucakap polis Bekasi, Ajutan Komander Siswo seperti dipetik oleh The Jakarta Globe. "Kemudian (Mulyadi) yang juga guru agamanya meminta dia datang untuk rawatan."
Ustaz itu menjemput gadis itu ke rumahnya yang juga merupakan Sekolah Islam Yayasan Anwarul Istiqomah pada pukul 11 pagi Ahad. Apabila gadis itu tiba, dia mendakwa Mulyadi melakukan serangan seksual di ruang tamu rumah itu dengan merogolnya. Isteri dan tiga anaknya ketika itu tiada di rumah.
"(Dia menyerang) mangsa dengan menutup mulut mangsa dengan tangannya dan (memaksa gadis itu) melakukan hubungan intim," kata Siswo.
Ustaz itu kemudian menghantar gadis itu pulang. Gadis itu segera membuat laporan polis yang selanjutnya memulakan siasatan.
Mulyadi dituduh mengikut undang-undang perlindungan kanak-kanak dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun.