Usir, Ini akan jejas hubungan Rusia-AS - Duta Rusia
APTN
Mac 26, 2018 05:54 MYT
Mac 26, 2018 05:54 MYT
Duta Rusia ke Amerika Syarikat (AS) berkata keputusan Washington mengusir 60 diplomat Rusia susulan insiden keracunan bekas perisik Rusia di Britain, akan menjejaskan hubungan Rusia-AS.
Anatoly Antonov mengecam tindakan AS sebagai tidak berperikemanusiaan dan provokatif.
Beliau berkata pada Isnin, langkah AS memusnahkan hubungan Rusia-AS dan Washington bertanggungjawab berdepan kesannya.
Britain mendakwa bahawa Rusia bertanggungjawab meracun bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anaknya, Yulia dengan ajen saraf Novochok pada 4 Mac di Salisbury.
Bagaimanapun Rusia menafikan segala dakwaan terhadap insiden tersebut.
Berikutan insiden ini, AS dan Kesatuan Eropah (EU) mengarahkan diplomat Rusia keluar dari negaranya sebagai tanda solidariti terhadap Britain.
Rakyat Moscow mengecam tindakan ini dan kebanyakan daripada mereka meluahkan rasa kecewa.
Menurut seorang penduduk tempatan, Gennadiy Pravotorov, dia kini tidak kisah mengenai insiden ini kerana sudah sangat kecewa.
Seorang lagi penduduk tempatan, Sergei Uspenskiy pula berkata dakwaan meracun bekas perisik itu tidak mempunyai asas dan sehingga kini tiada bukti kukuh mengenainya.
#Amerika Syarikat
#Anatoly Antonov
#Britain
#Kesatuan Eropah
#Moscow
#Rusia
#Sergei Skripal
#Washington
#Yulia