Usaha untuk capai gencatan senjata di Gaza masih berjalan - Qatar

Bernama
Disember 11, 2023 18:44 MYT
Sheikh Mohammed mengkritik dwistandard masyarakat antarabangsa yang gagal menghentikan serangan Israel ke atas Gaza, yang turut melebarkan jurang antara Barat dan Timur. - Gambar fail/AP
KAHERAH : Qatar mengumumkan usaha untuk mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza masih berterusan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani berkata bahawa dialog adalah cara terbaik untuk menangani konflik paling kompleks itu.
Beliau mengkritik dwistandard masyarakat antarabangsa yang gagal menghentikan serangan Israel ke atas kawasan terkepung itu, yang turut melebarkan jurang antara Barat dan Timur.
"Krisis semasa di Gaza jelas mempamerkan jurang ketara antara Timur dan Barat, serta antara generasi berlainan termasuk dwistandard dalam masyarakat antarabangsa.
"Sejarah telah mengajar kita bahawa dialog adalah cara terbaik menghadapi konflik yang paling kompleks sekiranya ada kemahuan dan kepimpinan politik yang bijak," kata Al Thani semasa berucap pada pembukaan Forum Doha edisi ke-21 di ibu negara Qatar, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita QNA.
Qatar, bersama Mesir dan Amerika Syarikat menjadi pengantara dalam perang Israel yang tercetus pada 7 Okt, membawa kepada pelaksanaan jeda kemanusiaan selama seminggu hingga 1 Dis.
Terdahulu, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani merasmikan Forum Doha selama dua hari yang disertai ketua-ketua negara, kerajaan dan organisasi serantau dan antarabangsa, termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres.
Forum itu bertemakan "Membina Masa Hadapan Bersama," membincangkan krisis, terutamanya perkembangan situasi di Gaza.
-- BERNAMA
#perang Palestin Israel #gencatan senjata #Qatar #Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani
;