Usaha Republikan halang Harris dapatkan dana kempen Biden tidak mungkin berjaya - Pakar

Bernama
Julai 26, 2024 10:15 MYT
Pada Ahad lepas, Biden mengumumkan menarik diri daripada perlumbaan presiden AS 2024 dan menyokong Harris sebagai calon Parti Demokrat untuk presiden AS. - Reuters
WASHINGTON: Usaha Republikan untuk menghalang pemindahan dana kempen Presiden AS Joe Biden kepada calon baharu dari Demokrat, Kamala Harris, tidak mungkin berjaya, kata Stephen Presser, profesor emeritus sejarah undang-undang di Fakulti Undang-undang Pritzker Universiti Northwestern, kepada Sputnik.
Kempen calon presiden Republikan Donald Trump memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan pada Selasa, berhujah bahawa pemindahan dana yang dikumpulkan untuk kempen pemilihan semula Biden kepada Naib Presiden Harris akan melanggar undang-undang persekutuan.
"Semua sumbangan kepada Joe Biden mungkin boleh ditafsirkan sebagai sumbangan kepada tiket Biden/Harris dan Kamala adalah apa yang tinggal daripada itu. Mungkin ada beberapa tindakan undang-undang rasmi yang perlu dilakukan, tetapi saya tidak dapat bayangkan ia terlalu sukar," kata Presser.
Pakar undang-undang itu berkata bahawa sebarang usaha dari Republikan tidak mungkin berjaya kerana "mahkamah mungkin mendapati mereka tidak mempunyai kedudukan untuk mencabar apa yang sebenarnya adalah urusan dalaman parti Demokrat". Beliau menyatakan bahawa akses Harris kepada dana kempen Biden mungkin menjadi faktor utama yang menjadikannya calon pilihan dalam kalangan pemimpin Demokrat.
Pada Ahad lepas, Biden mengumumkan menarik diri daripada perlumbaan presiden AS 2024 dan menyokong Harris sebagai calon Parti Demokrat untuk presiden AS. Trump berkata lebih daripada sekali bahawa lebih mudah untuk mengalahkan Harris, manakala kempennya berkata Harris akan menjadi presiden yang lebih buruk daripada Biden.
-- BERNAMA
#pilihan raya presiden #Amerika Syarikat #Kamala Harris #dana kempen #Donald Trump