Usaha kembalikan keamanan di selatan Thailand

Astro Awani
Februari 26, 2013 12:06 MYT
Kepimpinan kanan tentera yang berpangkalan di selatan Thailand sudah mula membuat risikan untuk mendapat peluang mengadakan rundingan dengan pemimpin kumpulan pemisah.
Seorang pegawai kanan tentera di Narathiwat, Kolonel Narid Narakul memberitahu mereka amat berminat untuk mengadakan pertemuan dengan presiden barisan Pembebasan Pattani Bersatu Kasturi Mahkota.
Kasturi berada di Sweden pada masa ini.
Menurut Narid, jika Kasturi enggan pertemuan berlangsung di Thailand, Malaysia akan diminta untuk membantu memujuknya supaya diadakan perjumpaan di Malaysia.
Laporan akhbar 'The Nation' sebelum ini berkata Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawat akan melawat Malaysia Khamis ini berkemungkinan meminta Kuala Lumpur berperanan sebagai perantara menamatkan keganasan di Pattani, Yala dan Narathiwat.
Ia lawatan kedua Yingluck ke Malaysia. Selain Malaysia, Yingluck juga akan ke Hong Kong dan Korea Selatan.
Isu pergolakan selatan Thailand sebelum ini turut menjadi antara agenda utama perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Yingluck pada forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Rusia.
Dokumentari khas “Resah Damai Selatan” disiarkan di Astro Awani pada 21 Januari lepas mengusulkan antara lain supaya Thailand menerima jalan penyelesaian yang bukan bersifat keganasan untuk mengembalikan kedamaian di tiga wilayah bergolak.
Antara syor itu termasuk mengumpulkan kumpulan bertelagah dengan tentera berpusat di Bangkok di meja rundingan.
Lebih lima ribu terbunuh sejak putara keganasan berlanjutan di tiga wilayah di selatan Thailand sejak sembilan tahun lalu.
Malaysia menghulurkan bantuan terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi di sempadan kawasan yang bergolak atas jemputan kerajaan Thailand.
#Hong Kong #Malaysia #pemisah #selatan #tentera #Thailand #Yingluck Shinawat
;