Upacara memperingati mangsa gempa bumi, tsunami di Jepun dibatalkan
Astro Awani
Mac 12, 2020 09:53 MYT
Mac 12, 2020 09:53 MYT
Pada 11 Mac 2020, genap lapan tahun ulang tahun peristiwa gempa bumi dan tsunami terburuk di Jepun yang membunuh kira-kira 20,000 penduduk negara itu.
Sejak lapan tahun lalu, upacara memperingati peristiwa itu akan diadakan secara besar-besaran.
Perdana Menteri Abe Shinzo dan barisan jemaah menterinya akan berhimpun di Pejabat Perdana Menteri bagi upacara memperingati mangsa yang terkorban.
Namun, tahun ini, upacara besar-besaran yang biasanya dihadiri ribuan rakyat, ahli keluarga dan kenalan rapat mangsa, terpaksa dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19.
"Berdasarkan situasi terkini, sekarang adalah masanya untuk melakukan segalanya bagi memerangi penularan wabak COVID-19 di Jepun.
"Jadi, kami terpaksa membatalkan majlis ini. Saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan ahli keluarga mangsa," kata Abe.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa bencana alam yang berlaku lapan tahun lalu itu perlu sentiasa diingati.
Gempa bumi berukuran 9.0 skala richter dan tsunami yang berlaku pada 11 Mac 2011 itu menyebabkan lebih 18,000 penduduk tempatan terkorban dan banyak kediaman musnah.
Sementara itu, ratusan penduduk tempatan tetap hadir di Tokyo pada Rabu, bagi memberi penghormatan dan memperingati bencana yang berlaku pada 2011 itu.