UOB selesai ambil alih Citigroup

Najib Aroff
November 1, 2022 11:30 MYT
Pengambilalihan oleh UOB itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan perniagaan runcit di ASEAN melangkaui pasaran asalnya di Singapura.
KUALA LUMPUR: UOB selesai mengambilalih perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand.
Dalam satu kenyataan, bank itu berkata pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Indonesia dan Vietnam dijangka selesai pada 2023.
Perniagaan pengguna terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit Citigroup.
Pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada strategi UOB untuk meningkatkan perniagaan runcit di ASEAN melangkaui pasaran asalnya di Singapura.
Tambah bank itu apabila selesai, pengambilalihan ini dijangka akan menggandakan asas pelanggan runcit sedia ada UOB di empat pasaran tersebut kepada 5.3 juta pelanggan selain menambahkan 5,000 kakitangan kepada tenaga kerjanya.
“Penyelesaian pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand merupakan peristiwa penting dalam usaha kami untuk terus melabur dalam francais serantau kami.
Pengambilalihan ini memberikan skala yang lebih besar dan adalah sejajar dengan hasrat kami untuk menjadi bank pilihan para pengguna dan peniaga di ASEAN,” kata Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB, Wee Ee Cheong.
Beliau berkata UOB akan terus memberi tumpuan untuk memastikan peralihan perniagaan Citigroup berjalan lancar di kesemua empat pasaran, dengan matlamat mencapai integrasi sistem sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
#UOB #ASEAN #Citigroup #pengambilalihan
;