Untuk isteri tercinta berusia 19 tahun, warga emas hadiahkan mas kahwin RM149,000, kereta dan rumah
Agensi
Mei 22, 2022 13:23 MYT
Mei 22, 2022 13:23 MYT
JAWA BARAT: Kalau sudah namanya cinta, jarak usia 46 tahun bukan halangan untuk sepasang hati disatukan atas nama perkahwinan.
Demikian juga takdir yang tertulis buat warga emas, Sondani yang berusia 65 tahun dari Cirebon, Jawa Barat yang bertemu jodoh dengan seorang gadis berusia 19 tahun.
Pernikahan pasangan berkenaan menjadi bahan perbincangan di media sosial lantaran kemurahan hati Sondani menghadiahkan mas kahwin sebanyak Rupiah 500 juta (RM149,675).
“Pemberian (mas kahwin) itu adalah keinginan saya, tidak ada tuntutan daripada mana-mana pihak,”ujar Sondani menjawab pertanyaan ramai apakah jumlah hantaran sedemikian dibuat pihak keluarga perempuan.
Sebagai seorang pemilik tanah, bukan hanya mas kahwin sebanyak itu yang dihadiahkan buat isterinya, Fia Barlianti, sebaliknya, isterinya itu turut dihadiahkan sebuah rumah, kereta, pakej umrah, emas 55 gram serta hadiah-hadiah lain.
Menyedari persekitaran hari ini setiap hal yang dilihat ‘luar biasa’ di mata masyarakat akan pantas menjadi tular di media sosial langsung tidak menyebabkan Sondani terasa hati atau sebagainya.
Ini kerana, kata Sondani, dia sendiri tidak mempunyai sebarang akses pada media sosial berikutan warga emas itu tidak memiliki telefon pintar.
“Saya tidak mempunyai (akaun) media sosial bahkan telefon bimbit saya juga sudah ketinggalan zaman. Saya tahu ramai yang bercakap (kisah perkahwinannya) di media sosial, biarkan saja,” ujar Sondani seperti dilaporkan portal berita Indonesia.
Sondani lebih selesa menggunakan telefon monofonik iaitu model generasi terawal telefon bimbit yang pernah dipasarkan.
Mengimbas detik pertama tertarik dengan Fia, Sondani bercerita, hatinya mula terpaut pada isterinya sewaktu mereka mengikuti rombongan ziarah wali sebelum bulan Ramadan lalu.
Kata Sondani, sejak dari saat itu, dia mula mendekati Fia dengan cara yang baik.
“Kemudian bertemu lagi di bulan puasa, saya bertanya sama ada dia (Fia) sudah mempunyai teman lelaki atau belum..
“Bila Fia menjawab belum ada, saya terus meluahkan hasrat untuk menikahinya,” kata Sondani penuh jujur.