UNSC terima resolusi beberapa bentuk ucapan sebabkan konflik
Astro Awani
Jun 15, 2023 08:10 MYT
Jun 15, 2023 08:10 MYT
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebulat suara menerima resolusi yang mengiktiraf apa jua ucapan berbentuk kebencian, perkauman, diskriminasi kaum, xenofobia, diskriminasi jantina dan tindakan ekstremisme boleh mendorong kepada peningkatan konflik.
Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) Lana Zaki Nusseibeh berkata apabila ideologi perkauman dan pelampau dibiarkan tanpa ditangani, kebencian ini akan terus berlarutan dan membuka jalan bagi kitaran konflik terus berlaku.
"Apabila ideologi perkauman dan ekstremis dibiarkan tanpa ditangani, kebencian ini diturunkan dari generasi ke generasi, membuka jalan kepada kitaran konflik untuk terus berlaku.
"Resolusi ini mengambil langkah konkrit kritikal untuk menangani ucapan kebencian, perkauman dan ekstremisme yang mengancam keamanan dan keselamatan. Ia menggalakkan semua pemegang kepentingan utama untuk bersuara menentang ucapan kebencian dan menggalakkan toleransi.
"Resolusi itu mengiktiraf peranan penting wanita, belia dan dialog antara agama dan menggesa negara untuk melibatkan dan memperkasakan komuniti tempatan, agama dan etnik minoriti dan masyarakat sivil," katanya.
Sebahagian daripada teks resolusi itu mendorong negara dan organisasi untuk mengutuk secara terbuka mengenai keganasan, ucapan kebencian dan ekstremisme yang didorong oleh diskriminasi termasuk atas alasan kaum, etnik, jantina, agama atau bahasa.
Setiausaha Agung PBB akan memberikan taklimat lisan kepada Majlis Keselamatan pada 14 Jun tahun depan.
Taklimat itu akan merangkumi bagaimana resolusi itu dilaksanakan.