UNSC bincang pembinaan semula Gaza dalam sesi khas
Bernama
Julai 1, 2024 16:32 MYT
Julai 1, 2024 16:32 MYT
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan sesi khas pada Selasa bagi menangani situasi kemanusiaan di Gaza, dengan tumpuan kepada usaha pembinaan semula di wilayah itu.
Penyelaras Kanan PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Pembinaan Semula untuk Gaza, Sigrid Kaag dijadual memberi taklimat kepada anggota UNSC, lapor Agensi Berita dan Info Palestin (WAFA).
Taklimat adalah melalui Resolusi 2720, yang diterima pakai pada 22 Disember 2023.
Baru-baru ini, Kaag mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken di Washington berhubung situasi di Gaza.
-- BERNAMA