UNSC: Beri negara Selatan Global peranan lebih besar - Putin

Luqman Hariz
Oktober 24, 2024 18:08 MYT
Putin berkata, usaha itu penting untuk memastikan PBB kekal efektif dalam menjalankan peranannya. - Gambar/ BRICS/ Stanislav Krasilnikov
KAZAN (Rusia): Negara Asia, Afrika dan Amerika Latin perlu diberikan peranan lebih besar dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam memberikan ucapan di Sidang Kemuncak BRICS hari ini berkata, ini penting untuk memastikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu kekal efektif dalam menjalankan peranannya.
“Untuk memastikan fungsinya terus efektif, penting untuk PBB menyesuaikan strukturnya kepada realiti abad ke-21, iaitu meluaskan perwakilan negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin dalam Majlis Keselamatan dan badan-badan utama lain.
“Ini termasuk negara yang berada di dewan ini (Sidang Kemuncak BRICS),” katanya.
Hanya dua negara anggota BRICS, Rusia dan China, menjadi ahli tetap Majlis Keselamatan PBB di samping tiga lagi negara dari blok Barat.
Manakala sepuluh negara dipilih menjadi ahli tidak tetap majlis itu setiap dua tahun.
Majlis itu sering dilihat sebagai badan de facto yang mengawal kebanyakan urusan antarabangsa, dengan negara blok Barat sering menghalang sebarang resolusi yang bertentangan dengan kepentingannya melalui kuasa veto.
Sidang Kemuncak BRICS yang berlangsung selama tiga hari di Kazan, Rusia mengumpulkan sembilan anggotanya bersama beberapa negara pemerhati termasuk Malaysia, yang menyertai sidang tersebut buat pertama kali atas jemputan Putin.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk penambahbaikan tadbir urus global, konflik di Asia Barat serta pembangunan mampan.
#BRICS #UNSC #Vladimir Putin #negara selatan
;