UNRWA kecam keputusan Knesset Israel, beri amaran kesan buruk kepada Palestin
Bernama
Oktober 29, 2024 14:05 MYT
Oktober 29, 2024 14:05 MYT
ISTANBUL: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengecam keputusan Israel pada Isnin yang melarang agensi itu beroperasi di negara berkenaan, menyifatkan undang-undang itu sebagai "tidak pernah berlaku" dan memberi amaran tentang kesan buruk kepada rakyat Palestin, terutamanya di Gaza.
"Undian oleh Parlimen Israel (Knesset) terhadap UNRWA malam ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dan berbahaya. Ia bertentangan dengan Piagam PBB dan melanggar kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini di platform X.
Keputusan Israel itu merupakan sebahagian daripada "kempen berterusan untuk mencemarkan nama baik UNRWA dan menafikan peranannya dalam menyediakan bantuan pembangunan manusia dan perkhidmatan kepada pelarian Palestin," katanya.
Lazzarini meluahkan kebimbangan bahawa larangan terbabit akan menafikan pendidikan kepada lebih 650,000 kanak-kanak Palestin di Gaza, sekali gus mengancam seluruh generasi.
Beliau turut menyifatkan penggubalan undang-undang Knesset itu sebagai "hukuman kolektif" dan menekankan ia hanya akan meningkatkan lagi cabaran yang dihadapi rakyat Palestin.
"Menghentikan UNRWA dan perkhidmatannya tidak akan menafikan status pelarian Palestin," kata Lazzarini, sambil menekankan bahawa status ini dilindungi di bawah resolusi berasingan Perhimpunan Agung PBB sehingga "penyelesaian yang adil dan berkekalan" dicapai untuk rakyat Palestin.
Beliau juga memberi amaran mengenai impak yang lebih meluas daripada larangan ini, menekankan bahawa jika undang-undang ini tidak dicabar, ia berpotensi melemahkan mekanisme multilateral bersama yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua.
Terdahulu, Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang melarang UNRWA daripada beroperasi di Palestin, yang boleh menjejaskan kerja-kerja agensi itu di Gaza.
Undian itu menyaksikan 92 daripada 120 anggota Knesset menyokong larangan itu, manakala 10 menentang.
Satu rang undang-undang berasingan daripada anggota Knesset Ron Katz, Yulia Malinovsky, dan Dan Illouz yang diluluskan dengan 87 undi menyokong dan sembilan menentang, mewajibkan Israel untuk memutuskan semua hubungan dengan UNRWA, menghalang sebarang kerjasama atau keistimewaan yang sebelum ini diberikan kepada agensi itu.
Undang-undang berkenaan akan berkuat kuasa dalam tempoh 90 hari, menurut Agensi Anadolu.
Israel menuduh kakitangan UNRWA terlibat dalam pencerobohan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Okt 2023, dengan mendakwa program pendidikan agensi itu "menggalakkan keganasan dan kebencian."
UNRWA, yang beribu pejabat di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur, menafikan tuduhan itu dan menegaskan bahawa ia kekal neutral serta hanya memberi tumpuan kepada sokongan kepada pelarian.
-- BERNAMA