Universiti di Indonesia tarik balik larangan terhadap pemakaian niqab
Agensi
Mac 13, 2018 17:48 MYT
Mac 13, 2018 17:48 MYT
Selepas mendapat perhatian antarabangsa dan tekanan dari kumpulan tertentu, pihak pengurusan Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga akhirnya mengesahkan bahawa mereka telah menarik balik larangan terjhadap pemakaian niqab di kampusnya.
“Klausa yang meminta penuntut wanita yang memakai niqab agar mendaftarkan diri telah ditarik balik kerana ia menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan umum,” ujar Timbalan Rektor III universiti itu, Waryono, pada Isnin.
Surat rasmi bagi notis itu diumumkan pada 10 Mac, iaitu 11 hari selepas larangan itu diperkenalkan pada 28 Februari.
Waryono menjelaskan, pendaftaran mandatori dalam kalangan penuntut universiti itu tidak selari dengan visi institusi tersebut dalam mendidik pelajar secara positif dan menghindarkan fahaman radikal.
Sebelum ini, Rektor Universiti tersebut, Yudian Wahyudi berkata kampus akan membuang penuntut wanita yang ‘degil’ memakai niqab selepas diberikan amaran rasmi sebanyak tujuh kali.
“Kami telah mendaftarkan 41 penuntut wanita yang memakai niqab dalam kawasan kampus,” ujarnya pada 5 Mac lalu.
Pengurusan kampus kini sedang menilai semula polisi dan bersedia untuk menyusun strategi yang lebih mesra pelajar.
Kampus tersebut telah dilawati sekumpulan wakil Komuniti Muslim Jogjakarta sejurus larangan itu diperkenalkan, dan difahamkan telah bertemu dengan wakil universiti bagi membincangkan isu tersebut.