United Airlines perkenal polisi baharu

Madiha Abdullah
April 16, 2017 09:14 MYT
Kejadian yang telah dirakamkan dalam bentuk video dan gambar oleh penumpang lain di dalam pesawat tersebut, telah disebarkan secara meluas di laman media sosial seluruh dunia.
SELEPAS kontroversi seorang penumpang diheret keluar dari pesawat baru-baru ini, syarikat penerbangan United Airlines memperkenalkan satu polisi baharu untuk mengelakkan kejadian itu berulang.
Portal CNN melaporkan, polisi baharu itu mewajibkan semua krew penerbangan untuk mendaftar masuk selewat-lewatnya 60 minit sebelum berlepas.
Sebelum ini, United Airlines dalam kenyataannya memaklumkan, insiden mengheret keluar penumpang itu terjadi kerana tempahan tiket yang berlebihan dan mereka memerlukan satu tempat duduk kosong untuk krew penerbangan.
Jika semua krew terbabit mendaftar masuk sebelum penumpang, insiden seperti yang berlaku 9 April lalu itu boleh dielakkan.
"Ini langkah awal yang diambil syarikat dalam menambah baik polisi dan perkhidmatan kami untuk semua penumpang," kata jurucakap United Airlines, Maggie Schmerin, dalam satu kenyataan rasmi pada Sabtu.
BACA: CEO United Airlines mohon maaf, berjanji kaji semula amalan syarikat
Dalam pada itu, penumpang yang diheret keluar, Dr.David Dao, menyatakan hasrat untuk memfailkan saman ke atas syarikat penerbangan itu.
Difahamkan, Dao mengalami kecederaan di kepala dan konkusi selepas diheret keluar oleh tiga pengawal keselamatan ketika berada dalam pesawat.
Kejadian yang telah dirakamkan dalam bentuk video dan gambar oleh penumpang lain di dalam pesawat tersebut, telah disebarkan secara meluas di laman media sosial seluruh dunia.
#media sosial #penerbangan #pesawat #saman #video
;