UNIFIL buka siasatan terhadap serangan udara di selatan Lubnan

Bernama
April 8, 2023 18:45 MYT
Pada pagi Jumaat, pesawat pejuang Israel melancarkan tiga peluru berpandu di wilayah Tirus, selatan Lubnan. - Gambar/ AP
BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) telah membuka siasatan berhubung pelancaran roket dan serangan udara yang berlaku di selatan Lubnan sejak dua hari lalu, lapor Xinhua.
Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan pada Jumaat, memetik kenyataan timbalan pengarah Pejabat Media UNIFIL Candice Ardell, pasukan pengaman UNIFIL disokong Angkatan Tentera Lubnan telah melawat tapak pelancaran roket dan peluru berpandu serta lokasi serangan untuk mengumpul bukti.
Pada pagi Jumaat, pesawat pejuang Israel melancarkan tiga peluru berpandu di wilayah Tirus, selatan Lubnan, sebagai tindakan balas terhadap pelancaran berpuluh-puluh roket ke Israel pada Khamis.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan itu.
Ketua misi dan komander pasukan UNIFIL, Mejar Jeneral Aroldo Lazaro Saenz, meneruskan hubungan dengan kedua-dua pihak, melalui mekanisme komunikasi dan penyelarasan UNIFIL, bagi membantu meredakan ketegangan di sepanjang 'Blue Line', Agensi Berita Nasional Lubnan memetik Ardell sebagai berkata.
Kementerian Luar Lubnan mengeluarkan kenyataan ringkas awal Jumaat, menyatakan negara itu akan memfailkan aduan kepada Majlis Keselamatan PBB kerana serangan Israel di selatan negara itu "merupakan pencabulan terang-terangan ke atas kedaulatan Lubnan dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701."
Pada hari yang sama, Israel menyeru Majlis Keselamatan PBB mengecam Lubnan dan Hamas atas serangan roket baru-baru ini.
--BERNAMA-XINHUA
#Israel #lubnan #serangan roket #UNIFIL
;