UNICEF perlu AS$1 bilion lagi bantu negara miskin dapatkan vaksin COVID-19

Astro Awani
Mac 10, 2021 23:36 MYT
UNICEF gesa negara-negara kaya untuk menyumbang dana bagi membantu blok negara miskin mendapatkan vaksin COVID-19. -Gambar fail
GENEVA: Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa negara-negara kaya untuk menyumbang dana bagi membantu blok negara miskin mendapatkan vaksin COVID-19.
Jelas UNICEF pada Rabu, inisiatif ini memerlukan tambahan sekitar AS$1 bilion lagi.
UNICEF yang juga merupakan pembeli vaksin tunggal terbesar di dunia adalah sebahagian daripada inisiatif COVAX yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dana yang disumbangkan ini boleh digunakan untuk memperkasakan lagi sistem kesihatan di negara-negara miskin dengan pengedaran vaksin.
Inisiatif COVAX bertujuan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya 2 bilion dos vaksin COVID-19 tahun ini.
Ia termasuk 1.3 bilion dos ke negara berpendapatan rendah.
Pengeluar vaksin juga digesa menandatangani perjanjian perlesenan supaya vaksin itu boleh dihasilkan di peringkat tempatan terutama di Afrika.
#vaksin #COVID-19 #UNICEF #COVAX #WHO #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Kanak-kanak #negara miskin #egara berpendapatan rendah