UNHCR gesa Thailand pindahkan pelarian Myanmar ke tempat lebih selamat
Bernama
Januari 21, 2022 21:58 MYT
Januari 21, 2022 21:58 MYT
BANGKOK: UNHCR, badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengendalikan hal ehwal pelarian, menggesa kerajaan Thailand agar memindahkan kira-kira 1,000 pelarian Myanmar yang berlindung di "kawasan selamat sementara", di Mae Sot, Wilayah Tak ke lokasi yang lebih selamat.
"Keadaan masih sangat tidak menentu dan bergolak di Myanmar. Memandangkan keperluan kemanusiaan yang mendesak bagi pelarian dan pertempuran berterusan di sebelah sempadan Myanmar, UNHCR menyeru Kerajaan Thai untuk memindahkan kumpulan itu ke lokasi lain agar mereka mendapat tempat tinggal sementara yang lebih selamat dan lebih bermaruah, dan menerima bantuan kemanusiaan yang lebih baik, " kata UNHCR dalam satu kenyataan.
Menurut sumber rasmi, lebih 9,500 orang awam dipaksa meninggalkan rumah mereka di negeri Kayin dan Kayah di tenggara Myanmar, mencari tempat tinggal dan perlindungan di Wilayah Tak dan Mae Hong Son di Thailand berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan dan militan.
Meskipun majoriti telah kembali ke Myanmar, UNHCR difahamkan oleh pihak berkuasa Thai bahawa kira-kira 1,000 pelarian masih kekal di Mae Sot, sebahagian besar daripada mereka tinggal di tapak perlindungan di Mae Kone Kane.
UNHCR turut mengulangi kesediaannya untuk membantu pihak berkuasa Thailand sebagai respons untuk keperluan kemanusiaan pelarian baharu.
"Bagi tujuan itu, UNHCR dan rakan kongsi kemanusiaan akan terus memohon akses kepada populasi pelarian," kata kenyataan itu.
Pada Isnin, Utusan Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer, meminta sokongan Thailand untuk membantu menghalang keadaan yang lebih teruk di Myanmar.
-- BERNAMA