UNGA79: Summit of the Future: Membangun kerjasama global untuk cabaran masa depan
Syafik Shukri Jalil
September 22, 2024 09:30 MYT
September 22, 2024 09:30 MYT
NEW YORK: Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), satu persidangan “Summit of the Future” akan dianjurkan pada 22 dan 23 September.
Menerusi laman web rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perhimpunan ini dianjurkan bagi membina dapatan daripada penganjuran UNGA ke-78 pada tahun lalu dan Sidang Kemuncak Sustainable Development Goals (SDG) 2023.
Ia antara lain bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dan membantu mencapai dan merealisasikan Agenda 2030 bagi pembangunan lestari.
“Sidang seumpamanya yang pertama kali dianjurkan ini akan meminta pemimpin untuk menyuarakan pendapat dan pandangan dalam isu yang berkepentingan.
“Bersama dengan para penyokong dan aktivis pelbagai peringkat umur, pemimpin dunia akan diberi peluang untuk memulakan semula kerjasama global apabila mereka bertemu di sidang kemuncak ini.
“Dan setiap negara anggota, sama ada besar atau kecil, mempunyai suara dan pendapat untuk dilontar dan dikongsikan,” katanya.
Selain itu, menurut PBB persidangan ini perlu diadakan bagi membentuk kerjasama global yang lebih utuh dalam mendepani segala cabaran dihadapi dunia pada abad ke-21 ini.
“Persidangan ini juga bertujuan menaik taraf beberapa sistem antarabangsa yang telah dibangunkan beberapa dekad yang lalu.
“Ia sekali gus bagi mencari penyelesaian dan meningkatkan cara dunia bekerjasama dalam mengatasi cabaran serta merangka hala tuju menuju masa depan yang lebih baik untuk semua,” tambahnya.
Antara lain, menerusi laman web rasmi Summit of the Future: Our Common Agenda menyifatkan matlamat utama penganjuran persidangan ini bagi membolehkan negara-negara anggota PBB menerima pakai Pact for the Future yang akan dihasilkan menerusi persidangan dua hari ini yang turut merangkumi Declaration on Future Generations dan Global Digital Compact sebagai lampiran.
Pact for the Future yang akan dirundingkan akan berorientasikan tindakan dengan memfokuskan kepada beberapa isu melibatkan pembangunan mampan dan pembiayaan untuk pembangunan, keamanan dan keselamatan antarabangsa; sains, teknologi dan inovasi serta kerjasama digital; belia dan generasi masa depan dan transformasi tadbir urus global.
“Draf Pact yang sedang dirundingkan berpotensi untuk mempromosikan sistem multilateralisme yang mencerminkan realiti hari ini dan memberi manfaat kepada semua walau di mana sahaja mereka berada.
“Bagi menyokong negara anggota, Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres telah menyediakan cadangan dalam 11 polisi, yang memfokuskan idea yang pada asalnya dikemukakan dalam laporan Our Common Agenda.
“Banyak cadangan dalam polisi ini sedang dipertimbangkan dalam rundingan yang dipimpin bersama oleh Namibia dan Jerman (Pact), Zambia dan Sweden (Digital), serta Jamaica dan Belanda (Generasi Masa Depan),” tambahnya.
Menyentuh soal mencapai agenda merealisasikan 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang terangkum dalam SDG 2030, PBB berkata, sidang ini antara lain akan membantu negara anggota kembali ke landasan asal bagi mencapai matlamat global ini.
Ia menerusi akses kepada pembiayaan yang sangat diperlukan dan menangani krisis hutang global, yang memberi beban secara tidak seimbang kepada ekonomi negara membangun.
Dalam perkembangan sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan memberi ucapan dalam sesi plenari yang dijadual berlangsung pada jam 2 petang waktu tempatan.