UNGA79: Mahmoud Abbas gesa PBB gantung keahlian Israel serta-merta

Syafik Shukri Jalil
September 26, 2024 07:00 MYT
Mahmoud Abbas gesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggantung keahlian Israel dalam badan dunia itu kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat keahlian PBB termasuk melanggari piagam dan resolusi badan dunia yang berpengaruh itu. - Gambar Reuters
NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung keahlian Israel dalam badan dunia itu.
Ini kerana, tegas Mahmoud, Israel tidak memenuhi syarat-syarat keahlian PBB sejak daripada awal keahliannya termasuk melanggari piagam dan resolusi badan dunia yang berpengaruh itu.
Untuk itu, penggantungan berkenaan, menurut beliau, adalah wajar sehingga Israel mampu memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.
"Saya menyeru kepada sidang yang dihormati untuk menggantung keahlian Israel dalam PBB sehinggalah ia memenuhi obligasi, kewajipan dan syarat yang ditetapkan.
"Israel juga perlu melaksanakan kesemua resolusi digariskan dalam piagam PBB dan badan-badan berkaitan organisasi ini.
"Kami (Palestin) akan mengemukakan permintaan ini kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB mengenai perkara ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi debat umum sempena hari ketiga Perhimpunan Agung PBB di sini, pada Khamis.
Selain itu, Abbas turut menggesa pelaksanaan sepenuhnya keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kependudukan secara haram oleh Israel di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur serta menggesa agar kependudukan itu ditamatkan dalam tempoh dua belas bulan.
"Saya mengambil kesempatan hari ini untuk berterima kasih dan memuji negara-negara anggota yang mengundi dengan majoriti lebih daripada dua pertiga menyokong draf resolusi yang dikemukakan oleh Palestin.
"Ia disokong oleh sebilangan besar negara anggota untuk menerima pakai pendapat nasihat yang dikeluarkan pada 19 Julai 2024 oleh ICJ untuk menamatkan pendudukan haram Israel di Palestin dalam tempoh 12 bulan.
"Resolusi ini antara lain menggesa pemberhentian serta-merta aktiviti penempatan, pembongkaran penempatan sedia ada, penyingkiran peneroka dari wilayah Palestin dan pemulangan tanah dan sumber yang dirampas sejak 1967,’’ katanya lagi.
Pada masa sama, Mahmoud turut menekankan kepentingan merealisasikan gencatan senjata yang komprehensif dan kekal di Gaza dan menuntut agar serangan tentera Israel dan keganasan yang sedang berlaku di Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis Timur, dihentikan segera.
Pentas sama digunakan Mahmoud untuk menuntut agar kemasukan bantuan kemanusiaan disegerakan tanpa syarat dan dalam kuantiti yang mencukupi ke semua kawasan terjejas termasuk di Semenanjung Gaza.
Antara lain, beliau juga menggesa pengunduran sepenuhnya tentera rejim Israel dari Semenanjung Gaza dan mengharapkan pemindahan paksa di dalam atau di luar Semenanjung Gaza dihentikan segera.
#UNGA79 #gantung keahlian Israel #PBB #Mahmoud Abbas
;