UNGA: Thailand komited ke arah keamanan, hak asasi manusia dan alam sekitar
Bernama
September 23, 2023 13:15 MYT
September 23, 2023 13:15 MYT
BANGKOK: Thailand komited untuk memainkan peranan proaktif dan membina bersama dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memajukan keamanan yang mampan, hak asasi manusia dan pemeliharaan alam sekitar.
Semasa menyampaikan Kenyataan Thailand di Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat PBB pada Jumaat, Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata Thailand akan menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan rakan dan rakan kongsi di seluruh dunia melalui perdagangan, pelaburan dan perjanjian perdagangan.
"Hari ini, kita bertemu pada masa yang mencabar dengan pelbagai cabaran global, termasuk keamanan global yang rapuh, perkembangan manusia yang merosot dan kelestarian planet kita. Cabaran ini memerlukan multilateralisme dan semangat kerjasama antarabangsa dan Thailand bercadang untuk bekerjasama rapat dengan semua negara untuk menanganinya," katanya.
Mengenai keamanan yang mampan, Srettha berkata Thailand menyokong Agenda Baharu bagi Keamanan yang dicadangkan oleh Setiausaha Agung yang dipercayai akan menghidupkan semula multilateralisme dan memperkukuh peranan PBB dalam mencapai keamanan global.
"Thailand akan meneruskan hubungan aman dan kolaboratif dengan semua anggota masyarakat antarabangsa. Kami percaya bahawa keamanan yang berkekalan boleh dicapai jika kita dapat mengukuhkan hubungan multilateral kita yang berasaskan saling percaya, pemahaman dan hormat-menghormati," katanya.
Memandangkan Thailand merupakan calon ASEAN untuk Majlis Hak Asasi Manusia bagi tempoh 2025-2027, Srettha berkata negara itu akan mengukuhkan komitmen untuk kemajuan hak asasi manusia di dalam dan di luar negara.
Sementara itu, Srettha berkata Thailand menyambut baik Climate Ambition Summit untuk mempercepat tindakan iklim yang akan mengurangkan kesan krisis iklim dan bersama-sama merancang kaedah bagi menyesuaikan diri dan meningkatkan daya tahan iklim.
"Sebagai pengeluar makanan dan produk pertanian utama, Thailand mengalami kesan perubahan iklim global dan kesan El Nino.
"Untuk memastikan keterjaminan makanan dunia, kami sedang berusaha keras meningkatkan sistem pengurusan air dan teknik pertanian kami. Kami sedang lakukan apa yang perlu pihak kami lakukan untuk memastikan keterjaminan makanan boleh menjadi realiti," katanya.
Sementara itu, Srettha berkata PBB mewakili aspirasi bersama masyarakat global.
"Oleh itu, Thailand meletakkan harapan yang besar terhadap Summit of the Future untuk memupuk masa depan lebih baik buat semua, berasaskan semangat multilateralisme, dengan PBB di barisan hadapan dalam usaha global bagi mencapai keamanan dan pembangunan mampan.
"Thailand percaya kini adalah masa untuk bersama mengejar agenda keamanan, kemakmuran dan kemampanan bagi semua. Kami mempelawa setiap negara untuk menjadi lebih berani dalam matlamat kita, mempercepatkan tindakan kita dan bekerja lebih keras bersama-sama mengatasi cabaran ini. Hanya dengan kebersamaan kita dapat membina masa depan yang lebih baik," katanya."
-- BERNAMA