UNGA terima resolusi untuk gencatan senjata segera, bantuan kemanusiaan di Gaza
Bernama
Oktober 27, 2023 05:45 MYT
Oktober 27, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat menerima resolusi yang menyeru gencatan senjata segera selain bantuan kemanusian serta perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan.
Menurut laman sesawang Berita PBB, pengundian semasa Sidang Khas Tergempar ke-10 itu menyaksikan resolusi yang ditaja Jordan diluluskan oleh Perhimpunan Agung, dengan 120 undi menyokong, 14 menentang, dan 45 tidak mengundi.
Jordan pada awal sesi itu telah mencadangkan penggantungan hujahan negara-negara anggota pada pukul 3 petang Jumaat (waktu New York), untuk memulakan "tindakan segera" terhadap resolusi draf dan hujahan diteruskan selepas itu. Bagaimanapun, pengantungn hujahan itu dibuat pada 3.40 petang.
Resolusi draf yang diketuai oleh Jordan mengenai krisis itu mendapat sokongan awal daripada lebih daripada 40 Negara Ahli, termasuk Mesir, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu.
Kanada sebelum itu mencadangkan sedikit pindaan kepada resolusi itu yang membidas tindakan Hamas terhadap Israel tetapi ia gagal mendapat sokongan yang diperlukan. Undian mengenai pindaan itu adalah 85 menyokong, 55 menentang, dengan 23 tidak mengundi, jadi ia gagal untuk mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Resolusi ini antara lain menyeru kepada "gencatan senjata kemanusiaan dengan segera, berkekalan, dan berterusan", serta "menuntut" agar semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan untuk menyediakan bekalan dan perkhidmatan penting ke Gaza Strip yang "berterusan, mencukupi, dan tanpa halangan".
Sidang tergempar itu diadakan pada 26 Okt sejurus selepas kebuntuan di dalam Majlis Keselamatan dan keadaan yang semakin teruk di dalam Gaza yang terkepung.
-- BERNAMA