UNGA: Satu hari nanti, kita akan capai deneuklearisasi dan kedamaian - Jae-in

Astro Awani
September 23, 2020 08:45 MYT
Moon Jae-in berucap dalam rakaman video awal yang dimainkan pada sesi ke-75 UNGA di ibu pejabat PBB di New York, 22 Sept, 2020. (Foto AP)
ISU damai di Semenanjung Korea jadi tumpuan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bersempena ulang tahun ke-75 UNGA.
Beliau memaklumkan pada Selasa, usaha damai dengan Korea Utara kini tertangguh, dan turut tertunda, usaha membubarkan program nuklear Pyongyang.
"Usaha ke arah mencapai keamanan di semenanjung Korea masih lagi berlangsung. Dan perubahan-perubahan yang sebelum ini membawa harapan cerah, kini tertangguh. Namun, Korea Selatan akan terus mengadakan dialog.
"Tetapi kita semua perlu mengambil satu lagi langkah ke hadapan. Kepercayaan saya kekal tidak berubah, satu hari nanti, kita akan mampu mencapai deneuklearisasi dan membawa keamanan berterusan di semenanjung Korea dengan kerjasama dan sokongan komuniti dunia," katanya.
Jae-in turut mencadangkan kewujudkan inisiatif kerjasama Asia Utara untuk kesihatan awam dan kawalan penyakit.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kerjasama bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
#COVID-19 #deneuklearisasi #keamanan #Korea #Korea Selatan #Korea Utara #Moon Jae-in #New York #nuklear #PBB #UNGA
;