UNGA: Pemimpin dunia berdepan penyakit defisit kepercayaan - Guterres
Harits Asyraf Hasnan
September 25, 2018 04:39 MYT
September 25, 2018 04:39 MYT
Pemimpin dunia pada ketika ini berdepan dengan cabaran atau ‘penyakit’ defisit kepercayaan.
Gambaran suram yang dilontarkan Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres itu membuka tirai Perhimpunan Agung kali ke-73 badan dunia itu.
Jelas beliau, cabaran itu perlu ditangani hasil peningkatan polarisasi dan populisme dalam sesebuah negara selain menjalin kerjasama dengan rakyat.
“Dalam sesetengah negara, rakyat telah hilang kepercayaan terhadap parti politik. Globalisasi makin meningkat, manakala populisme hanya sederhana.
“Malah, kerjasama antara negara-negara juga kurang jelas selain lebih banyak kesulitan berlaku.
“Ini sekali gus memberi cabaran kepada Majlis Keselamatan PBB,” ujar beliau pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Kali Ke-73 di sini pada Selasa.
Tambah beliau, ‘penyakit’ defisit kepercayaan itu amat jelas kelihatan pada ketika ini dengan memberi gambaran di Timur Tengah, Myanmar dan Palestin.
“Seolah-olah seperti tidak ada daya upaya untuk menamatkan perang di Syria, Yaman dan di tempat lain.
“Etnik Rohingya tetap dipinggirkan, trauma dan dalam kesengsaraan, yang mana mereka masih merindukan keselamatan dan keadilan.
“Palestin dan Israel masih terkunci dalam konflik yang tidak berkesudahan dengan penyelesaian dua negeri itu jauh dan lebih jauh,” jelas beliau.
Ucapan itu dilihat memberi tamparan hebat kepada pemimpin ketika ini dalam melontarkan idea secara kolektif mendepani cabaran global sekaligus mewujudkan keamanan, keadilan dan kemapanan.
Beliau berucap di hadapan presiden, perdana menteri, raja serta menteri kanan berprofil tinggi daripada 133 negara yang telah bersetuju hadir pada sesi kali ini.
#Antonio Guterres
#defisit kepercayaan
#hilang
#Israel
#keselamatan
#Myanmar
#Palestin
#PBB
#pemimpin dunia
#perhimpunan
#politik
#presiden
#rakyat
#Rohingya
#Setiausaha Agung
#Syria
#UNGA