UNGA masih relevan, bawa suara dan visi dunia - ISIS Malaysia

Madiha Abdullah
September 23, 2022 07:15 MYT
UNGA adalah platform untuk menyuarakan pendapat dan berdebat berkenaan sesuatu isu atau visi, sebelum ia direalisasikan. - Foto Twitter UN GA President
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) tidak harus dilihat sebagai sebuah platform untuk menyelesaikan masalah.
Sebaliknya, Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Herizal Hazri berkata, ia adalah tempat untuk negara-negara menyuarakan pendapat dan berdebat.
Katanya, negara-negara termasuk negara membangun seperti Malaysia boleh berhujah berkenaan sesuatu isu atau visi di platform UNGA, sebelum ia direalisasikan dalam sistem PBB atau di negara masing-masing.
"Kita harus faham bahawa PBB diwujudkan untuk memberikan ruang kepada negara-negara menyuarakan pendapat mereka.
"Ia tidak dicipta untuk mempunyai kuasa di mana ia dapat mengubah dunia atau kuasa eksekutif untuk menangani cabaran-cabaran yang ada.
"Tetapi apa yang PBB boleh lakukan adalah menarik negara-negara supaya mereka dapat berbincang, berdebat dan menyuarakan pendapat.
"Dari situ, idea akan bercambah untuk menjadi satu gerak kerja yang lebih komprehensif dan ini tentu sekali boleh dilakukan dalam cabang yang lain, di bawah payung PBB atau di luar payung PBB.
"Jadi, UNGA ini bukanlah permulaan dan pengakhiran tetapi ia menyediakan satu platform yang berterusan, di mana idea-idea dicambahkan di sini akan dapat direalisasikan di dalam sistem PBB dan sistem-sistem lain," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI, pada Jumaat.
UNGA masih relevan, bawa suara dan visi dunia
UNGA Ke-77 berlangsung di ibu pejabat PBB, New York dari 22 hingga 25 September ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyampaikan kenyataan negara semasa sesi debat umum pada Sabtu serta berucap pada hari sama dengan pemimpin tertinggi Palestin, Thailand, Kemboja, Iraq, Greece dan Bangladesh.
Beliau dijangka mengetengahkan isu-isu berkaitan cabaran dan konflik global seperti COVID-19, situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tindakan iklim serta pembangunan mampan selari dengan tema debat umum sesi ke-77 iaitu ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’.
#UNGA #PBB #Malaysia #Herizal Hazri
;