UNGA luluskan perjanjian tangani jenayah siber

Bernama
Disember 25, 2024 05:20 MYT
Ini merupakan perjanjian keadilan jenayah antarabangsa pertama yang dirundingkan antara negara anggota PBB dalam tempoh lebih 20 tahun. - Gambar hiasan
NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa menerima pakai Konvensyen PBB Menentang Jenayah Siber, sebuah perjanjian global bersejarah untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah itu, lapor Xinhua.
Ini merupakan perjanjian keadilan jenayah antarabangsa pertama yang dirundingkan antara negara anggota PBB dalam tempoh lebih 20 tahun.
Konvensyen yang mengikat di sisi undang-undang ini mengakui risiko ketara yang disebabkan oleh penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi, yang memungkinkan jenayah dilakukan pada skala, kelajuan, dan skop yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Dokumen itu menekankan kesan buruk jenayah siber terhadap negara, perusahaan, dan kesejahteraan individu serta masyarakat serta memberi tumpuan kepada perlindungan terhadap jenayah seperti keganasan, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, dan jenayah kewangan dalam talian.
Selain itu, ia mengiktiraf kesan jenayah siber terhadap mangsa dan memberi keutamaan kepada keadilan, khususnya untuk kumpulan yang terdedah.
Perjanjian ini juga menekankan keperluan bantuan teknikal, pembinaan kapasiti, dan kerjasama antara negara serta pihak berkepentingan lain.
Menurut kenyataan media PBB, konvensyen ini akan dibuka untuk ditandatangani dalam satu majlis rasmi di Hanoi, Vietnam, tahun depan dan akan berkuat kuasa 90 hari selepas diratifikasi oleh penandatangan ke-40.
-- BERNAMA
#UNGA #jenayah siber #kerjasama antarabangsa #Teknologi Maklumat #perjanjian global
;