UNGA ke-77 dibuka secara rasmi

Astro Awani
September 14, 2022 10:15 MYT
Csaba Korosi dalam ucap tamanya memberi amaran berkaitan ketidaktentuan global, inflasi dan konflik kini mewujudkan keadaan gangguan yang tidak pernah berlaku sejak perang dunia kedua. -Twitter/@UN_PGA
NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNGA ke-77 dibuka secara rasminya.
Pengerusi baharunya Csaba Kőrösi dalam ucap tamanya memberi amaran berkaitan ketidaktentuan global, inflasi dan konflik kini mewujudkan keadaan gangguan yang tidak pernah berlaku sejak perang dunia kedua.
Jelas beliau, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mengubah diplomasi antarabangsa dan menyebabkan ancaman perang kini jadi sebahagian daripada kehidupan.
"Dalam kita memulakan sesi ke-77 ini, kita melakukannya dalam keadaan perpecahan geopolitik dunia yang semakin meluas dan mewujudkan ketidaktentuan.
"Ketika sebahagiannya masih boleh diuruskan, pandemik terus mencetus ketidaktentuan di seluruh dunia.
"Keselamatan makanan, peningkatan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan bermakna semakin kurangnya makanan buat mereka yang sudah berdepan masalah, serta ancaman inflasi yang mengganggu masyarakat kita," kata Kőrösi.
Beliau mendesak komitmen untuk menegakkan serta melindungi prinsip perlembagaan PBB.
Sehubungan itu, jelas beliau ia tidak boleh dilaksanakan hanya oleh pihak tertentu.
Sementara itu, Korosi menegaskan kesan perubahan iklim akan mencetus konflik dan krisis air yang kemudian berubah menjadi ancaman utama terhadap keamanan dan keselamatan.
#UNGA #Csaba Korosi #Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
;