UNGA ke-77: China ulangi komitmen teruskan tuntutan ke atas Taiwan

Astro Awani
September 25, 2022 10:15 MYT
Wang Yi berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77 di New York, 24 Sept 2022. (Foto AP)
CHINA mengulangi komitmen untuk meneruskan tuntutan kedaulatan ke atas Taiwan.
Ia juga memberi bayangan pihak yang cuba menggugat komitmennya untuk penyatuan semula dengan pulau berkenaan bakal menjadi sisa sejarah.
Kata Menteri Luar China Wang Yi, keamanan di Selat Taiwan hanya akan tercapai apabila China bersatu sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kesediaan Beijing untuk melakukan apa sahaja untuk menolak campur tangan asing.
"Keamanan di Selat Taiwan hanya akan wujud sekiranya China bersatu sepenuhnya.
"Sebarang cubaan untuk campur tangan dalam urusan dalaman China adalah ditolak sepenuhnya.
"Sebarang tindakan untuk menentang usaha penyatuan China juga akan ditolak," kata Wang Yi ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York pada Sabtu.
China mendakwa Taiwan masih di bawah wilayah kedaulatannya.
Pulau itu berpisah dari Tanah Besar pada 1949 sejak perang saudara tercetus dan kini mempunyai pentadbiran sendiri.
Sebelum ini, lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taiwan telah mencetus ketegangan di antara Washington dan Beijing.
#China #Taiwan #UNGA ke-77 #wang yi
;