UNGA ke-76: Isu perubahan iklim diberi penekanan utama
Astro Awani
September 21, 2021 08:01 MYT
September 21, 2021 08:01 MYT
NEW YORK: Tekanan kalangan pemimpin dunia dalam usaha untuk memerangi perubahan iklim terus meningkat.
Isu berkenaan dijangka dominasi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76 minggu ini.
Para pemimpin dunia sebelum ini saling menggesa antara satu sama lain untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Mereka juga desak negara miskin diberikan lebih banyak dana untuk membangunkan tenaga yang lebih bersih serta menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim yang semakin memburuk.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, beliau tidak akan berputus asa.
"Saya tidak putus asa, tetapi saya sangat bimbang. Kerana seperti yang diberitahu oleh kajian santifik, kita perlu memastikan bahawa suhu tidak meningkat lebih daripada 1.5 Celcius.
"Laporan oleh Organisasi PBB yang berurusan dengan Konvensyen Perubahan Iklim menunjukkan kita akan mengalami kenaikan suhu 2.7 Celcius, dan itu adalah bencana, dunia tidak dapat hidup dengan kenaikan suhu 2.7 Celcius," katanya.
Pada Selasa, Guterres dan Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson akan mengadakan sesi tertutup dengan 35 hingga 40 pemimpin dunia.
Ini sebahagian usaha meningkatkan mencari titik persamaan menjelang rundingan iklim di Scotland dalam enam minggu lagi.
Rundingan tersebut bakal menjadi langkah seterusnya setelah perjanjian iklim Paris 2015 yang bersejarah.
Mengenai kewangan, Guterres menggesa negara-negara kaya untuk memenuhi janji jangka panjang mereka sebanyak AS$100 bilion setahun untuk bantuan iklim kepada negara-negara miskin.
Pembiayaan untuk mengatasi impak perubahan iklim turun 25 peratus tahun lalu untuk negara-negara pulau kecil.