UNGA 79: “Ucapan terakhir Biden, retorik biasa, kita tidak terlalu berharap” - Mohamad

Syafik Shukri Jalil
September 25, 2024 07:15 MYT
Mohamad Hasan sifatkan penampilan terakhir Presiden Joe Biden di pentas debat umum Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79, hanyalah sebagai satu retorik yang biasa dilaungkan. - Gambar Astro AWANI/ NOOR FAHMEY MD AZHAR
NEW YORK: Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan penampilan terakhir Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di pentas debat umum Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79, hanyalah sebagai satu retorik yang biasa dilaungkan.
Ini kerana, ujar Menteri Luar itu, apa yang diluahkan tidak seperti apa yang dilakukan dan ini hanyalah sekadar satu tindakan untuk pengetahuan umum.
"Seperti biasa retorik pemimpin-pemimpin biasalah, kan? Dia cakap di pentas antarabangsa, jelas sekali ia hanyalah untuk public consumption.
"Tetapi apa yang mereka lakukan itu tidak seperti apa yang mereka katakan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penampilan terakhir Biden di hari pertama High Level Week sempena UNGA ke-79 pada Selasa.
Mohamad pada masa sama berkata, beliau tidak menaruh sebarang harapan dalam ucapan tersebut yang banyak menyentuh mengenai konflik yang melatari dunia ketika ini.
Namun, ujarnya, sekiranya ucapan itu digerakkan menerusi tindakan, beliau berharap agar kekejaman rejim Zionis di bumi Palestin dapat dihentikan segera.
"Sekurang-kurangnya mereka bercakap untuk cuba menghentikan peperangan dan kekejaman terhadap masyarakat di Palestin.
"Kita tidak menaruh sebarang harapan, tetapi kalau berlaku, Alhamdullillah. Kita hanya mahukan kekejaman terutamanya pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin melibatkan wanita dan kanak-kanak ini dihentikan segera,’’ katanya.
Pada Selasa, Biden menerusi penampilan terakhirnya di pentas UNGA ke-79 menekankan beberapa perkata utama antaranya menggesa PBB untuk memainkan peranannya dengan lebih inklusif dan berkesan dalam menangani isu dan konflik semasa yang melatari dunia hari ini.
Biden turut menyeru agar Majlis Keselamatan PBB kembali ke landasan asal dalam menjalankan tugas memastikan keamanan dapat dicapai sepenuhnya dengan mengakhiri peperangan dan penderitaan.
Menyentuh konflik di Asia Barat, beliau juga menggesa agar perjanjian gencatan senjata yang diusulkan oleh AS dengan kerjasama tiga negara pengantara melibatkan Qatar, Mesir dan Turkiye perlu segera direalisasikan.
Ini kerana menurutnya, konflik yang berterusan antara rejim Israel dan Hamas ketika ini telah membunuh banyak nyawa yang tidak berdosa.
#UNGA #Joe Biden #Mohamad Hasan #ucapan terakhir Biden
;