UNGA 79: Malaysia seru tingkatkan penglibatan negara Selatan Global

Syafik Shukri Jalil
September 28, 2024 04:40 MYT
Mohamad berucap pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-79 di New York pada Sabtu. - Foto screengrab/UN Web TV
NEW YORK: Malaysia menyeru ke arah meningkatkan penglibatan negara Selatan Global (Global South) dalam tadbir urus global, pembiayaan pembangunan dan tindakan iklim.

Ringkasan AI
  • Malaysia menyeru agar negara Selatan Global diberi peranan lebih besar dalam tadbir urus global, pembiayaan pembangunan, dan tindakan iklim.
  • Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan perlunya pembiayaan inovatif dan pemindahan teknologi untuk membantu negara-negara membangun menangani perubahan iklim.
  • Malaysia komited menguatkan perpaduan di kalangan negara Selatan Global untuk mempromosikan keamanan, pembangunan, dan keadilan dalam sistem dunia.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu, suara negara-negara membangun tidak boleh lagi diabaikan.
Menerusi penampilan sulungnya pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79, Mohamad turut menggariskan visi Malaysia untuk mencapai agenda satu dunia yang lebih adil dan saksama.
"Negara-negara Selatan Global terus dipinggirkan dan kurang perwakilan dalam bidang penting seperti pembangunan sosioekonomi, mitigasi iklim, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.
"Mekanisme antarabangsa gagal menyesuaikan diri dengan realiti semasa, sering kali mengasingkan dan menghukum negara-negara membangun, meletakkan beban alam sekitar ke atas mereka, sambil mengabaikan keperluan yang sangat nyata," katanya.
Selain itu, beliau seterusnya berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh negara-negara ini adalah kekurangan infrastruktur dan teknologi, yang mengehadkan kemampuan mereka untuk terlibat sepenuhnya dalam inisiatif global.
Menyentuh mengenai krisis iklim dihadapi dunia ketika ini, Mohamad berkata, kesannya kini dirasai merentasi sempadan, mengganggu ekonomi dan memaksa pemindahan komuniti.
Untuk itu, beliau menyeru untuk membolehkan model pembiayaan inovatif yang menyokong kelestarian, pemuliharaan, dan tindakan iklim, bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2030.
"Kekurangan infrastruktur, teknologi, dan sumber telah menghalang negara-negara membangun daripada terlibat sepenuhnya dalam sistem dan aspirasi antarabangsa.
"Cabaran yang signifikan yang kita hadapi adalah mencapai akses yang adil kepada pembiayaan pembangunan.
"Krisis (perubahan iklim) ini bukan lagi ancaman yang jauh kerana ia kini telah berlaku," tambahnya.
Tingkatkan penglibatan negara Selatan Global dalam agenda dunia
Pada masa sama, Mohamad menekankan bahawa usaha nasional sahaja tidak mencukupi dan respons global mesti merangkumi pembiayaan iklim, pemindahan teknologi dan pengukuhan kapasiti untuk membantu negara-negara membangun.
Malaysia juga mengulangi komitmennya untuk menguatkan perpaduan dalam kalangan negara-negara Selatan Global sambil menekankan bahawa solidariti adalah kunci untuk menangani cabaran bersama.
"Malaysia percaya kepada kekuatan perpaduan Selatan Global.
"Visi kami adalah untuk mempromosikan keamanan, pembangunan dan susunan dunia multipolar di mana suara Selatan didengari.
"Negara Selatan Global memiliki potensi besar mempromosikan keamanan dan keadilan. Melalui sokongan dan kerjasama bersama, kita akan dapat memastikan kemajuan yang adil untuk semua.
"Keperluan dan aspirasi negara Selatan Global mesti diberikan perhatian sewajarnya. Adalah penting untuk kita tidak meninggalkan sesiapa," jelasnya lagi.
Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah "Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang."
#UNGA 79 #negara Selatan Global #Mohamad Hasan #negara membangun
;