UNGA 79: Malaysia cadang PBB lantik Wakil Khas tangani isu Islamofobia

Syafik Shukri Jalil
September 28, 2024 05:45 MYT
Mohamad berucap pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-79 di New York pada Sabtu. - Foto screengrab/UN Web TV
NEW YORK: Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melantik seorang Wakil Khas bagi memerangi Islamofobia.

Ringkasan AI
  • Malaysia mencadangkan PBB melantik Wakil Khas untuk memerangi Islamofobia.
  • Malaysia menyeru tindakan segera terhadap peningkatan ucapan kebencian dan keganasan yang menyasarkan umat Islam.
  • Malaysia komited menyokong usaha PBB dalam mempromosikan dialog dan toleransi antara komuniti agama.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyeru tindakan segera di peringkat global terhadap peningkatan gelombang ucapan kebencian dan keganasan yang menyasarkan golonhan minoriti, terutamanya melibatkan umat Islam.
“Kami sangat terkejut melihat kepada trend kebencian yang membimbangkan, sikap tidak berteloransi dan tindakan keganasan terhadap umat Islam.
“Ini tidak boleh diteruskan. Dalam era globalisasi, terdapat ruang untuk semua orang hidup bersama. Tugas kita, di bawah panji dunia yang bersatu, adalah untuk memastikan keamanan akan terpelihara.
“Malaysia mendesak pelantikan segera Wakil Khas PBB untuk memerangi dan menangani isu Islamofobia,” katanya.
Mohamad berkata demikian pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79 di sini, pada Sabtu.
Pada masa sama, Mohamad juga menekankan keperluan mendesak untuk langkah-langkah mempromosikan toleransi agama, dengan menyeru bahawa terdapat ruang untuk semua masyarakat hidup bersama dalam era globalisasi.
Mohamad juga menegaskan kesediaan Malaysia untuk menyokong usaha PBB dalam memupuk dialog antara komuniti melibatkan isu ini.
“Kami sedia menyokong sebarang usaha yang dilakukan oleh PBB ke arah memupuk dialog antara komuniti yang akan mempromosikan penerimaan dan pemahaman di seluruh dunia,” katanya.
Gema suara Malaysia sampaikan isu di pentas dunia
Selain itu, Mohamad menekankan bahawa isu kebencian yang meluas terhadap mana-mana kumpulan agama akan merosakkan nilai-nilai keadilan dan keamanan, sambil mengakui bahawa Islamofobia tetap menjadi ancaman yang sangat signifikan kepada umat Islam di seluruh dunia.
“Islamofobia adalah ancaman kepada umat Islam, tetapi kebencian terhadap pengikut mana-mana agama merosakkan nilai-nilai keadilan dan keamanan yang telah pun kita semua berikrar untuk melindungi.
“Kita mesti bertindak sekarang. Tiada tempat untuk kebencian atau sikap tidak toleransi di dunia ini,” tambahnya.
#Mohamad Hasan #Wakil Khas perangi Islamofobia #UNGA 79 #kebencian
;