UNGA 79: Delegasi Malaysia tinggalkan dewan, saat kemunculan Netanyahu

Syafik Shukri Jalil
September 28, 2024 09:15 MYT
Banyak kerusi kelihatan kosong ketika Netanyahu berucap pada UNGA ke-79 di ibu pejabat PBB di New York, AS, 27 Sept, 2024. - REUTERS
NEW YORK: Delegasi Malaysia antara kumpulan yang meninggalkan dewan perhimpunan agung sebelum giliran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyampaikan perbahasan umum di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNGA ke-79.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada sesi itu juga, kesemua negara yang menyatakan sokongan kepada Resolusi Palestin yang berpandukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC), turut melakukan tindakan sama.
"Seperti yang kita dapat lihat, apabila Netanyahu masuk ke dewan hendak memulakan ucapan, semua bangun keluar. Kita juga, (delegasi) Malaysia, keluar semuanya.
"Negara-negara yang menyokong keputusan ataupun advisory opinion daripada ICJ semua keluar daripada dewan. Dewannya kosong.
"Tetapi, seperti biasa, Netanyahu dengan angkuh dan bongkak memperkecilkan peranan PBB dan juga agensi-agensi PBB dan seolah-olah bercakap, PBB ini tidak ada-apa peranan," katanya.
[TERKINI] Malaysia kritik Israel lancar serangan di Lubnan
Terdahulu pada sidang sama, delegasi dari Turkiye dan ramai yang lain meninggalkan dewan perhimpunan sebelum giliran Netanyahu menyampaikan perbahasan umumnya sebagai tanda protes.
Delegasi yang diketuai wakil tetap Turkiye ke PBB, Duta Ahmet Yildiz, dilaporkan antara individu yang turut sama melakukan tindakan serupa.
Sebelum itu, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengecam kehadiran Netanyahu pada UNGA, menyifatkannya sebagai 'memalukan'.
#Benjamin Netanyahu #UNGA #Palestin #Turkiye #terkini
;