UNESCO tetapkan Paksi Falsafah Yogyakarta sebagai tapak warisan budaya dunia
Bernama
September 19, 2023 06:40 MYT
September 19, 2023 06:40 MYT
YOGYAKARTA: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menetapkan Paksi Falsafah Yogyakarta sebagai satu tapak warisan budaya dunia Indonesia semasa mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) ke-45 di Riyadh, Arab Saudi pada Isnin.
Semasa mesyuarat yang dihadiri oleh Naib Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), Sri Paduka Paku Alam X, Paksi Falsafah Yogyakarta telah diterima sepenuhnya sebagai Warisan Budaya Dunia mengikut dokumen WHC 2345.COM 8B.39 pada 18 September 2023 .
"Tahniah kepada Indonesia atas kemasukan Paksi Falsafah Yogyakarta sebagai Warisan Budaya Dunia," kata Pengerusi Jawatankuasa Warisan Dunia Abdulelah Al-Tokhais dalam satu kenyataan pada Selasa, lapor agensi berita ANTARA.
Sementara itu, Gabenor DIY, Sri Sultan Hamengku Buwono X berkata, kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak dan merupakan pengakuan terhadap karya agung Sri Sultan Hamengku Buwono I sebagai pencetus Paksi Falsafah Yogyakarta.
Menurut Sultan, Paksi Falsafah adalah warisan budaya yang penuh dengan falsafah yang tinggi, dan ia mesti dipelihara.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UNESCO dan seluruh masyarakat, yang telah menyokong usaha memelihara Paksi Falsafah sebagai warisan dunia yang mempunyai nilai-nilai murni sejagat untuk ketamadunan kemanusiaan pada masa kini dan akan datang," titah Sri Sultan.
Sri Sultan berharap ia dapat menjadi platform pembelajaran bersama untuk nilai-nilai universal yang diperlukan untuk mewujudkan dunia yang lebih baik pada masa hadapan.
Nilai-nilai murni ini, menurut Sultan, diharapkan dapat menjadi inspirasi dan rujukan untuk merealisasikan dunia yang lebih baik.
-- BERNAMA