UNESCO perakui Songkran sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan

Bernama
Disember 6, 2023 06:45 MYT
Songkran, perayaan Tahun Baharu tradisional Thailand, mendapat pengiktirafan dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH). - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Songkran, perayaan Tahun Baharu tradisional Thailand, mendapat pengiktirafan dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH).
Keputusan itu dibuat pada sesi ke-18 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara, yang berlangsung di Kasane, Botswana pada Rabu.
Songkran disambut dari 13 hingga 15 April setiap tahun sebagai menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand. Perayaan ini terkenal dengan aktiviti meriah menyimbah air serta perarakan berwarna-warni.
Penyertaan 'Songkran in Thailand' dalam senarai berprestij ini disambut baik oleh Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.
"Songkran di Thailand mewakili warisan budaya tidak ketara, mencerminkan kepelbagaian budaya dan kreativiti manusia untuk mencapai matlamat pembangunan mampan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menekankan bahawa pengiktirafan itu merupakan detik yang membanggakan bagi Thailand, menyumbang secara signifikan kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap nilai dan kepentingan Songkran sebagai warisan budaya tidak ketara.
Pengiktirafan itu akan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam mempromosi pembelajaran, akses, pembangunan dan melindungi warisan budaya itu untuk generasi akan datang. Ia juga menekankan peranan kerjasama antarabangsa dalam menjaga warisan budaya tidak ketara merentasi pelbagai domain.
Dengan pengiktirafan terbaru itu, Thailand kini mempunyai empat elemen dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan - Khon Masked Dance Drama (2018), Nuad Thai (2019), Nora Dance Drama (2021), dan Songkran in Thailand (2023). - BERNAMA
#Songkran #Unesco #Thailand #warisan budaya tidak ketara kemanusiaan
;