UNESCO lulus cadangan Amerika Syarikat sertai semula organisasi

Bernama
Julai 1, 2023 14:16 MYT
Selepas dua hari perbincangan, 132 negara anggota mengundi menyokong manakala 10 lagi menentang cadangan itu. - Gambar fail/REUTERS
PARIS: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Jumaat meluluskan cadangan Amerika Syarikat untuk menyertai semula organisasi itu yang dikemukakan semasa Sesi Luar Biasa Persidangan Agung.
Selepas dua hari perbincangan, 132 negara anggota mengundi menyokong manakala 10 lagi menentang cadangan itu ekoran AS telah menarik diri dua kali sebelum ini, menyebabkan kesan negatif terhadap tugas-tugas organisasi itu, lapor Xinhua.
AS akan membiayai bersamaan 22 peratus daripada belanjawan tetap organisasi itu, menurut kenyataan dikeluarkan UNESCO.
Selain pembayaran progresif tunggakan, AS juga akan membuat sumbangan sukarela bagi membiayai program termasuk menyokong akses kepada pendidikan di Afrika, menurut UNESCO.
Bercakap kepada media selepas proses undian, wakil tetap China ke UNESCO, Yang Jin berkata bahawa AS harus menyumbang untuk mempromosikan perpaduan dan kerjasama organisasi itu, bukannya terlibat dalam konfrontasi dan perpecahan.
"China menggesa AS, selepas kembalinya ke UNESCO, untuk memenuhi kewajipan dan komitmennya, membayar yuran keahlian sepenuhnya dan tepat pada masanya, dan membayar yuran tertunggak kepada UNESCO secepat mungkin," katanya.
Yang juga menyeru AS untuk mematuhi multilateralisme, menghormati kedaulatan dan sistem sosial semua negara, mengekalkan kepelbagaian sosial, tidak melakukan konfrontasi ideologi, dan komited untuk menggalakkan persefahaman dan kerjasama di kalangan negara anggota.
Pada Jun lalu, AS menghantar surat kepada ketua pengarah UNESCO untuk menyertai semula organisasi itu seawal Julai berdasarkan pelan kewangan yang konkrit, yang merangkumi komitmen untuk membayar balik tunggakan sekitar AS$619 juta.
--BERNAMA-XINHUA
#Unesco #sertai semula organisasi #Amerika Syarikat #Sesi Luar Biasa Persidangan Agung
;