UNESCO hadiahkan semua wartawan Gaza anugerah PBB

Azib Zikry
Mei 3, 2024 11:44 MYT
UNESCO menganugerahkan Hadiah Kebebasan Akhbar Sedunia kepada semua wartawan Palestin yang membuat liputan mengenai perang di Gaza. - Gambar fail UNESCO
PERTUBUHAN Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menganugerahkan Hadiah Kebebasan Akhbar Sedunia kepada semua wartawan Palestin yang membuat liputan mengenai perang di Gaza.
Sebagai sebuah badan PBB yang menggalakkan keamanan dan keselamatan dunia, bumi Gaza telah menjadi menjadi tempat "paling maut" bagi wartawan dalam sejarah susulan serangan kejam israel membunuh puluhan ribu manusia.
Ketua juri antarabangsa profesional media, Mauricio Weibel mengumumkan perkara itu pada Khamis dan ia adalah satu-satunya hadiah yang diberikan kepada wartawan oleh PBB.
Menurutnya, di saat kegelapan bumi Gaza, penghargaan itu dibuat atas dasar mesej solidariti dan pengiktirafan yang kuat kepada wartawan Palestin yang membuat liputan krisis ini dalam keadaan dramatik di bumi gaza.
Kata beliau, sebagai manusia, kita mempunyai hutang yang besar kepada keberanian dan komitmen mereka terhadap kebebasan bersuara.
Hadiah Kebebasan Akhbar Sedunia memberi penghormatan kepada sumbangan cemerlang kepada pembelaan atau promosi kebebasan akhbar di mana-mana sahaja di dunia.
Sementara itu, Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay pula berkata, penganugerahan itu memberi penghormatan kepada keberanian wartawan menghadapi keadaan sukar dan berbahaya.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sehingga Februari 2024, terdapat sekurang-kurangnya 126 pekerja media Palestin telah terbunuh sejak perang Israel bermula pada 7 Oktober, meskipun wartawan yang bekerja di kawasan konflik dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) sebuah badan global yang mempromosikan kebebasan akhbar di seluruh dunia berkata, pengamal media di Gaza menghadapi risiko tinggi apabila mereka cuba membuat liputan semasa serangan Israel.
Setiausaha Agung Reporters Without Borders, Christophe Deloire pula berkata, tiada tempat di Gaza yang selamat apatah lagi bagi wartawan.
Sebagai badan melindungi kebebasan akhbar, mereka menegaskan tidak akan berhenti mengulangi rayuan mendesak untuk melindungi wartawan di Gaza.
Peperangan Israel yang berterusan ke atas Gaza telah mengakibatkan kematian yang dahsyat.
Tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 34,596 rakyat Palestin dengan 70 peratus yang mengejutkan adalah bayi, kanak-kanak dan wanita, kata pegawai Palestin.
Selain itu, lebih 77,816 individu mengalami kecederaan, manakala lebih 10,000 orang dikhuatiri tertimbus di bawah serpihan struktur yang dibom. - Agensi
#PBB #kebebasan bersuara #wartawan #Unesco
;