Undang-undang antarabangsa tidak benarkan kemudahan perubatan diserang - PBB
Bernama
Oktober 14, 2023 18:45 MYT
Oktober 14, 2023 18:45 MYT
GENEVA: Serangan ke atas kemudahan perubatan adalah dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kata Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.
"Undang-undang kemanusiaan antarabangsa memerlukan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik untuk sekurang-kurangnya mengumpulkan mangsa yang cedera dan sakit dan merawat mereka tanpa diskriminasi.
"Serangan terhadap kemudahan perubatan, kakitangan perubatan dan pesakit dan orang yang cedera adalah dilarang," kata jurucakap OHCHR Ravina Shamdasani.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Israel di Semenanjung Gaza.
Menurut Doctors Without Borders, Israel pada Jumaat memberi masa dua jam kepada Al Awda Hospital di Gaza untuk mengosongkan hospital itu, tetapi kemudian menangguh arahan itu sehingga 6 pagi waktu tempatan.
Susulan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak Israel membatalkan arahan itu kerana pemindahan pesakit boleh mengancam nyawa mereka.
Pesawat perang Israel melakukan serangan udara secara intensif di bahagian utara Gaza pada Sabtu.
Menurut laporan media, Israel menolak gesaan antarabangsa untuk menghentikan serangan yang setakat ini telah mengorbankan ramai penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak.
-- BERNAMA
#perang Palestin Israel
#Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa
#PBB
#OHCHR
#Kanak-kanak
#Doctors Without Borders