UN bina penempatan bagi mangsa banjir di Brazil
Astro Awani
Julai 6, 2024 11:00 MYT
Julai 6, 2024 11:00 MYT
RIO GRANDE DO SUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Migrasi (IOM) membina pusat penempatan bagi menampung mangsa banjir yang melanda negeri paling selatan Brazil, Rio Grande do Sul pada akhir April.
IOM dalam satu kenyataan berkata, untuk rekod, hujan lebat yang menyebabkan berlakunya banjir yang dahsyat memaksa 420,000 orang meninggalkan rumah mereka dan menyebabkan 176 kematian dan lebih 30 lagi masih hilang.
Pembinaan pusat penempatan itu memberi kelegaan kepada seorang mangsa, Maria Cleci da Conceicao dan dua anaknya yang sudah meningkat dewasa.
Selesai proses dilakukan, mereka memindahkan beberapa barang yang sempat diambil meskipun dalam keadaan banjir ke kompleks yang dibuka PBB pada Khamis.
Bagi Da Conceicao, ibu tunggal berusia 69 tahun kepada dua orang anak, beliau bersyukur kerana mendapat pertolongan PBB itu.
Katanya, beliau tidak mampu lagi melihat ke belakang akibat cuaca buruk yang mengambil segala-galanya daripadanya.
Kompleks Canoas mempunyai kapasiti untuk sekitar 630 orang, dengan bilik tidur dan ruang untuk dobi, tempat makan dan kebersihan diri.
Menurut kenyataan IOM, PBB merancang untuk membuka dua lagi pusat perlindungan kemanusiaan antara Canoas dan Porto Alegre pada Julai dengan kapasiti untuk 2,400 orang.