'Umpama keluar dari neraka' - Tahanan Palestin dakwa dilayan seperti haiwan di penjara Israel
Astro Awani
Januari 20, 2025 12:15 MYT
Januari 20, 2025 12:15 MYT
GAZA: Tahanan Palestin yang dibebaskan hari ini mendakwa mereka ditahan dalam keadaan mengerikan di penjara Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Ringkasan AI
- Tahanan Palestin yang dibebaskan mendakwa mereka ditahan dalam keadaan mengerikan di penjara Israel di Tebing Barat yang diduduki.
- Israel dijangka membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dalam tempoh enam minggu akan datang semasa fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
- Kebanyakan yang dibebaskan pada Ahad merupakan wanita dan remaja.
"Saya keluar dari 'neraka' dan sekarang saya di 'syurga', kami keluar dari 'neraka'," kata tahanan yang dibebaskan, Abdelaziz Atawneh Atawneh, kepada Reuters.
"Mereka selalu pukul kami, tembak gas pemedih mata ke arah kami. Mereka mengira kami dengan kepala kami tersembam di lantai.
"Tiba-tiba mereka masuk ke dalam sel dan menembak gas ke arah kami. Mereka mengeluarkan kata-kata kesat kepada kami.
"Tiada makanan, tiada manisan, tiada garam. Tiada apa-apa," kata Abdelaziz.
Israel dijangka membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dalam tempoh enam minggu akan datang semasa fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Kebanyakan yang dibebaskan pada Ahad merupakan wanita dan remaja.
"Kebebasan, kebebasan, kami biasa melihat langit melalui petak kecil. Saya biasa berkata saya berharap saya akan melihat langit tanpa petak-petak ini," kata tahanan yang dibebaskan berusia 18 tahun, Rose Khwais, kepada Reuters.
Rose berkata pengawal penjara Israel melayan tahanan Palestin "seperti haiwan."
"Kami keluar dari sel seperti ayam dan kemudian kami dikembalikan ke sel kami.
"Mereka tidak melayan kami dengan baik, tiada makanan yang baik, tiada rawatan perubatan.
"Saya mengalami simptom strok, cecair di sekitar jantung, dan juga masalah tekanan darah.
"Saya tidak takut dengan penyakit itu, saya risau keluarga saya akan tahu bahawa saya jatuh sakit," kata Rose Khwais.