Umat Islam Poland batal korban kerana protes aktivis haiwan

AFP
Oktober 16, 2013 12:10 MYT
Masyarakat Islam di Poland membatalkan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini kerana bantahan kumpulan aktivis pembela hak haiwan dan larangan menyembelih binatang
"Buat pertama kali dalam masa beratus-ratus tahun, tidak ada ibadah korban untuk sambutan hari raya di sini," kata jurucakap umat Islam, Michal Adamowicz, di Bohoniki, sebuah perkampungan masyarakat Tatar di timur Poland.
Mufti Tomasz Miskiewicz berkata umat Islam di negara itu jadi seperti orang salah kerana aktivis pembela haiwan mengadakan tunjuk perasaan membantah ibadah korban dekat sebuah masjid di kampung itu ketika mereka bersiap-siap menyembelih biri-biri.
Kampung itu didiami oleh waris etnik Tatar yang berhijrah ke Poland kira-kira tiga kurun lalu.
Larangan menyembelih haiwan dikenakan ke atas umat Islam dan Yahudi di Poland sejak 1 Januari lepas setelah mahkamah perlembagaannyaa menyifatkan amalan itu bertentangan dengan undang-undang hak haiwan.
Pada 12 Julai lalu, Parlimen menolak rang undang-undang memansuhkan larangan tersebut dan tindakan mereka membangkitkan kemarahan masyarakat Islam dan Yahudi serta peternak dan pengedar daging halal ke Israel dan negara-negara Islam.
Industri itu mengeksport daging halal bernilai sehingga 350 juta euro setahun sebelum larangan itu berkuat kuasa.
Kesatuan Eropah menetapkan syarat semua haiwan yang disembelih perlu dikenakan renjatan elektrik bagi mengurangkan sakit tetapi syarat itu dikecualikan bagi sembelihan halal.
Pemimpin masyarakat Islam dan Yahudi mendakwa syarat itu mencabul hak kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan dan masyarakat Yahudi merujuk larangan itu ke mahkamah.
Umat Islam di Poland juga berhujah syarat itu tidak sah di bawah undang-undang Eropah.
"Tolong hormat hak kami, tolong hormat perlembagaan dan budaya orang Islam dan warga Tatar Poland dengan cara yang bertamadun dan tidak beremosi," Miskiewicz told reporters.
Kerajaan Poland pada Selasa memberikan reaksi yang berbeza-beza mengenai syarat itu.
Seorang menteri kabinet yang dekat dengan Perdana Menteri Donald Tusk menggesa agar "hak mereka yang mahu menjalankan keperluan agama semasa hari perayaan dihormati".
Kementerian Pertanian Poland bagaimanapun mengeluarkan satu kenyataan bahawa syarat penyembelihan yang berkuat kuasa itu mesti dipatuhi.
Poland mempunyai kira-kira 60,000 orang Islam dan Yahudi.
Sementara itu, Lithuania pada Selasa membenarkan sembelihan halal dan berhasrat menambah jumlah eksport daging halal.
"Negara Arab dan Israel adalah pasaran baru pengeksport daging," kata ahli parlimen Vytautas Gapsys yang membentangkan rang-rang undang-undang berkenaan.
Pada bacaan pertama, 51 daripada 141 ahli parlimen menyokong manakala dua menentang dan tujuh berkecuali.
#Aidiladha #Arab #Islam #Israel #Kesatuan Eropah #korban #Lithuania #poland #Yahudi
;