Umat Islam Indonesia mula berpuasa 9 Julai, Raya 8 Ogos
Astro Awani
Jun 14, 2013 09:20 MYT
Jun 14, 2013 09:20 MYT
Sebahagian umat Islam di Indonesia akan mula menunaikan ibadah puasa pada 9 Julai ini selepas pertubuhan Islam kedua terbesar di republik itu, Muhammadiyah menetapkan permulaan Ramadan secara hisab.
Pengumuman tarikh 1 Ramadan itu diumumkan oleh naib pengerusinya, Yuhagar Ilyas pada Khamis.
“Muhammadiyah telah menetapkan tarikh 1 Ramadan 1434 Hijrah jatuh pada Selasa, 9 Julai 2013," katanya seperti dipetik oleh laman web Jakarta Globe.
Berdasarkan kiraan sama juga, Muhammadiyah menetapkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 8 Ogos manakala Hari Raya Aidiladha pada 15 Oktober.
Pengikut Muhammadiyah lazimnya menyambut Ramadan dan hari raya lebih awal daripada umat Islam yang lain di republik itu yang bersandar kepada kaedah rukyah atau melihat anak bulan.
Penetapan secara rasmi akan dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal Agama setelah bermesyuarat dengan badan-badan Islam yang lain.
Muhammadiyah turut mengumumkan oleh kerana ia telah membuat ketetapan tersebut maka ia tidak akan hadir pada pertemuan itu tahun ini.