Umat Islam di Singapura sambut Aidilfitri Selasa

Bernama
Mei 1, 2022 21:25 MYT
Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022. - Foto: Faridah Ehsan
SINGAPURA: Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.
Ini bermakna umat Islam di Singapura tidak akan menyertai rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Raya pada 2 Mei.
"Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.
"Ini bererti esok (2 Mei) adalah hari pencukup bulan Ramadan selama 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa (3 Mei)," katanya dalam video yang disiarkan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Majlis Ugama Islam Singapura).
MABIMS ialah akronim kepada Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok (2 Mei), demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini.
-- BERNAMA
#Singapura #Aidilfitri #Selasa #syawal #Mufti Singapura #Dr Nazirudin Mohd Nasir #MABIMS #MUIS
;