Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand sambut Aidilfitri esok

Bernama
April 9, 2024 23:07 MYT
Sama seperti di Malaysia, umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand juga bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri esok. Foto menunjukkan Masjid Sultan di Singapura. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok.
Di SINGAPURA, pengumunan dibuat Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam satu klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam (MUIS) pada Selasa.
"Mengikut kiraan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura), anak bulan Syawal berada di atas ufuk Singapura selama 32 minit setelah matahari terbenam petang tadi.
"Oleh yang demikian, suka saya isytiharkan bahawa 1 Syawal 1145H jatuh pada esok, Rabu, bersamaan 10 April 2024," katanya dalam klip video tersebut.
Selain mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Singapura, beliau turut mendoakan semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah sepanjang Ramadan serta mengurniakan keberkatan dan kejayaan pada Aidilfitri ini.
Di JAKARTA, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia Yaqut Cholil Qouma dalam membuat pengumunan tersebut berkata keputusan dicapai bersama para ulama, organisasi Islam dan pakar falak di mesyuarat isbat atau penentuan Hari Raya Aidilfitri, di kementerian di sini, malam ini.
"Berdasarkan kedudukan hisab hilal di wilayah Indonesia yang sudah memenuhi kriteria MABIMS dan laporan hilal yang terlihat, disepakati bahawa 1 Syawal 1445H jatuh pada Rabu, 10 April.
''Mudah-mudahan keputusan ini mewujudkan kebersamaan umat Islam di Indonesia dalam menjalankan ibadah, bermuafakat dan bermasyarakat,'' kata Yaqut dalam sidang media.
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan terbesar di republik itu yang mempunyai lebih 270 juta orang dengan sekitar 87 peratus penduduk beragama Islam.
Di BANGKOK, Sheikhul Islam Thailand ke-19, Arun Boonchom mengumumkan menerusi siaran langsung Facebook bahawa umat Islam di Thailand akan menyambut Aidilfitri esok selepas anak bulan kelihatan setelah matahari terbenam hari ini.
Sheikhul Islam adalah pihak berkuasa Islam tertinggi di negara ini.
-- BERNAMA
#Umat Islam #Singapura #Indonesia #Thailand #Aidilfitri
;