Umat Islam di Indonesia sambut Aidilfitri Rabu

Bernama
Julai 5, 2016 00:08 MYT
Indonesia mempunyai paling ramai umat Islam di dunia dengan majoriti daripada kira-kira 300 juta penduduk negara itu beragama Islam.
Umat Islam di Indonesia akan menyambut Aidilfitri pada hari Rabu ini setelah kerajaan republik itu mengumumkan hari raya itu ialah pada 6 Julai ini.
Pengumuman rasmi yang dibuat oleh Menteri Agama Lukman Hakim Saifuddin itu disiarkan secara langsung menerusi siaran-siaran televisyen tempatan pada malam ini setelah mengadakan satu mesyuarat khas mengenai penetapan Hari Raya.
"Berdasarkan laporan dari kurang lebih pelapor di 90 titik melihat hilal di Indonesia. Seluruh pelapor menyatakan hilal belum nampak pada petang ini dan oleh itu kami bersepakat bahawa 1 Syawal 1437 Hijrah jatuh pada hari lusa, Rabu 6 Juli 2016," katanya.
Katanya proses penentuan awal Syawal itu menggunakan kaedah hisab dan rukyah dan kesemua tokoh agama yang menyertai mesyuarat berkenaan bersetuju bahawa umat Islam di Indonesia harus berpuasa selama 30 hari pada tahun ini.
Sebelum itu, sebuah organisasi agama yang berpengaruh di Indonesia, Muhammadiyah juga telah membuat pengumuman sejak semalam mengarahkan pengikutnya menyambut Hari Raya pada 6 Julai berdasarkan kepada kajian hisab hilal, iaitu berdasarkan kepada kiraan haribulan.
Sementara itu, ribuan umat Islam yang menjadi pengikut jemaah tarikat Naqsabandiyah di negara itu telahpun menyambut hari raya pada hari ini dan menunaikan solat hari raya Aidilfitri pagi tadi di sebuah kawasan terbuka di kawasan Masjid Baitul Makmur, Pauh dan dipimpin oleh Imam Besar mereka Syafri Malin Mudo.
Indonesia mempunyai paling ramai umat Islam di dunia dengan majoriti daripada kira-kira 300 juta penduduk negara itu beragama Islam.
#Aidil Fitri #hari raya #Indonesia #syawal