Ular terpanjang dari AS 'muncul semula' selepas pupus lebih 60 tahun
Astro Awani
Mac 21, 2022 14:28 MYT
Mac 21, 2022 14:28 MYT
SELEPAS pupus sejak 1950-an, spesies ular indigo timur dilaporkan 'membuat kemunculan semula' di Alabama, Amerika Syarikat.
Reptilia berwarna hitam dan terpanjang berasal dari utara negara Uncle Sam itu ditemukan di habitat liar dan ia merupakan yang kedua dikesan di Alabama dalam tempoh 60 tahun.
Difahamkan, kehadiran spesies tidak berbisa itu hasil daripada projek pembiakan semula yang dilancarkan oleh Pasukan Pemuliharaan Alabama pada 2006.
"Penemuan ular indigo timur di kawasan hidupan liar menandakan kejayaan program intensif untuk memperkenalkan semula reptilia itu ke negeri ini.
"Ular yang ditemui semalam (16 Mac) menunjukkan projek itu berjaya menghasilkan ular berkenaan yang berupaya membiak, seperti yang kita mahukan.
"Memperkenalkan semula spesies itu kepada kawasan asalnya adalah tugas yang sukar, dan kami meraikan setiap langkah kejayaannya," demikian tulis Bahagian Perikanan dan Hidupan Liar Alabama di laman Facebook pada Khamis.
Menurut institusi tersebut, ular indigo timur yang dibesarkan dalam kurungan mula dilepaskan pada 2010, dan ia menyasarkan pembiakan 300 spesies itu dalam usaha meningkatkan semula populasi ular tersebut.
Sementara itu, ahli biologi haiwan, Jim Godwin berkata, penurunan populasi ular indigo timur mempunyai 'kesan domino' kepada spesies lain dalam ekosistem.
"Ia adalah penunjuk yang sangat baik bahawa ular yang telah kami lepaskan, yang dilahirkan dalam kurungan, telah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran liar, berfungsi sebagai ular liar, dan sedang membiak," kata Godwin.
Ular indigo timur yang hidup secara liar telah ditemukan buat kali pertama di Alabama pada 2020.