Ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-75 disambut ringkas
Bernama
Ogos 17, 2020 12:56 MYT
Ogos 17, 2020 12:56 MYT
Indonesia meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-75 hari ini bertemakan "Indonesia Maju" yang diadakan secara ringkas ketika republik itu masih merekodkan peningkatan berterusan kes pandemik COVID-19.
Upacara sambutan di Istana Merdeka, Jakarta berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, yang diadakan dengan protokol kesihatan yang ketat, manakala "kehadiran" tokoh-tokoh pemimpin politik, menteri-menteri Kabinet Indonesia dan tetamu kehormat negara, diadakan secara maya.
Menurut Kementerian Sekretariat Negara, hanya 67 individu termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyertai sambutan di Istana Merdeka berkenaan.
Turut hadir, Naib Presiden Indonesia Ma'ruf Amin; Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Bambang Soesatyo yang membacakan proklamasi kemerdekaan 17 Ogos 1945; Menteri Agama, Fachrul Razi yang membacakan doa pada upacara itu.
Hadir sama, Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto dan Ketua Polis Indonesia, Idham Azis.
Upacara sambutan bermula 10 pagi menerusi bacaan proklamasi kemerdekaan, menaikkan bendera Indonesia dan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya dan acara tamat sepenuhnya pada 10.30 pagi waktu Indonesia Barat.
Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah kepada pemerintah Indonesia dan seluruh rakyatnya atas sambutan kemerdekaan ke-75 itu.
"Selamat Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-75. Dirgahayu Indonesia! Dirgahayu Malaysia!" katanya. - BERNAMA
#COVID19
#Dirgahayu Indonesia
#Indonesia
#Indonesia Maju
#Indonesia Raya
#Joko Widodo
#kemerdekaan
#Presiden Indonesia