Ukraine teruskan perjanjian bijirin meskipun tanpa jaminan Rusia

Bernama
Julai 18, 2023 13:08 MYT
Zelensky tidak menyatakan bagaimana kapal dan barangan mereka boleh diinsuranskan di zon perang. - Gambar/ AP
KYIV: Ukraine mengumumkan akan meneruskan perjanjian bijirin bersendirian walaupun tanpa jaminan keselamatan, berikutan Rusia menarik diri daripada perjanjian itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Walaupun tanpa Rusia, segala usaha mesti dilambil supaya kita boleh menggunakan koridor Laut Hitam ini," kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky kepada wartawan pada Isnin, menurut kenyataan jurucakapnya Serhiy Nykyforov di Facebook.
Menurut Zelensky, pemilik kapal bersedia untuk belabuh di pelabuhan Ukraine bagi penghantaran bijirin.
Perjanjian antara Ukraine, Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih berkuat kuasa tanpa Moscow, katanya.
Hanya perjanjian berasingan antara Rusia, Turkiye dan PBB ditamatkan.
Namun, Zelensky tidak menyatakan bagaimana kapal dan barangan mereka boleh diinsuranskan di zon perang.
Tempoh perjanjian yang membenarkan eksport bijirin dari Ukraine yang dilanda perang telah pun tamat pada Isnin selepas disambung beberapa kali.
Kremlin sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan kaedah perjanjian itu dilaksanakan.
Selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula hampir 17 bulan lalu, eksport menggunakan laluan laut pada mulanya dihentikan atas sebab keselamatan, namun disambung semula menerusi eksport bijirin yang membantu menurunkan harga makanan di seluruh dunia.
-- BERNAMA
#konflik Rusia-Ukraine #perjanjian bijirin #harga makanan dunia #Ukraine
;